Singapura permudahkan warga emas

SINGAPURA 31 Mei – Bagi memudahkan warga emas di Singapura, mereka kini boleh terus mendapatkan vaksin di pusat-pusat vaksinasi tanpa perlu membuat temu janji, demikian pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

“Tidak perlu mendaftar. Anda tidak perlu tempah slot lebih awal. Pergi sahaja ke salah sebuah pusat vaksinasi, dan anda akan diberikan suntikan di sana,” katanya dalam rayuan kepada 280,000 warga emas yang belum membuat temu janji.

Dalam ucapan melalui televisyen petang ini,  Lee membuat rayuan khas kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas supaya mendapatkan vaksin.

“Kebanyakan orang yang sebaya dengan anda sudah pun mendapatkan vaksinasi, termasuk ramai rakan dan jiran anda. Presiden dan saya juga telah mendapatkan suntikan vaksin, begitu juga dengan semua rakan Kabinet saya.

“Vaksin-vaksin adalah selamat, dan ia akan membantu memastikan keselamatan anda,” katanya.

Lee berkata setakat ini 760,000 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos atau menempah slot mendapatkan vaksin. Ini adalah hampir tiga suku daripada penduduk warga emas di Singapura.

Namun sekitar 280,000 warga emas belum membuat temu janji mereka.

Bagi memudahkan proses itu, warga emas kini boleh terus mendapatkan vaksin di pusat-pusat vaksinasi tanpa perlu membuat temu janji.

Bagi warga emas yang tidak mempunyai telefon bimbit, Lee berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Generasi Warga Emas dan pasukan vaksinasi terdiri daripada seorang doktor dan jururawat akan datang ke rumah mereka untuk memberi vaksin. 

Setakat ini hampir empat daripada 10 penduduk di Singapura sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan sasaran kerajaan adalah supaya dua pertiga daripada penduduk di sini menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

Related posts

Leave a Comment