Enam kluster baharu

SEHINGGA 13 Disember 2020, sebanyak 416 kluster dilaporkan termasuk enam kluster baharu hari ini. Jumlah kluster yang tamat pula adalah 225 termasuk empat yang tamat hari ini iaitu Kluster Wisma Saberkas di Sarawak, Kluster Sauh dan Basung di Sabah serta Kluster Auto di Selangor.

Jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 191. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok (103 kes), Kluster Seruling (93 kes) dan Kluster Rumah Merah (78 kes).

Terdapat enam kluster baharu dikenal pasti pada hari ini iaitu:

KLUSTER HUJUNG PASIR

Kluster ini berkaitan dengan tempat kerja melibatkan daerah Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-82138) dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Disember hasil saringan individu bergejala. Sehingga 13 Disember, sejumlah 143 individu disaring, di mana lima kes dikesan positif Covid-19.

KLUSTER LESTARI

Kluster ini berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi yang  melibatkan daerah Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang di Selangor serta daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-74963) dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Disember hasil saringan individu bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Sehingga 13 Disember, sejumlah 351 individu disaring, di mana 31 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

KLUSTER DESA IDAMAN

Kluster berkaitan dengan keagamaan ini melibatkan daerah Kulai di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-78315) yang merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dilaporkan positif Covid-19 pada 10 Disember dan dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang. Sehingga 13 Disember, sejumlah 52 individu disaring, di mana lapan kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

KLUSTER TAPAK BINA RIMBUN

Kluster berkaitan dengan tempat kerja ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan. Kes-kes awal bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 10 Disember  hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak binaan. Sehingga 13 Disember, sejumlah 206 individu disaring, di mana 16 kes dikesan positif Covid-19.

KLUSTER TANJUNG SURIA

Kluster berkaitan dengan tempat kerja ini melibatkan daerah Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor. Kes-kes awal bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 7 Disember 2020 hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan dua buah kilang. Sehingga 13 Disember, sejumlah 8,480 individu disaring, di mana 31 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

KLUSTER KUALA

Kluster berkaitan dengan tempat kerja ini melibatkan daerah Kuantan di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-78483) dilaporkan positif Covid-19 pada 10 Disember hasil saringan individu bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan. Sehingga 13 Disember 2020, sejumlah 26 individu disaring, di mana 26 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Related posts

Leave a Comment