26 kluster berpunca sambutan Aidilfitri

PUTRAJAYA 29 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 26 kluster berpunca daripada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri sejak 13 Mei lalu sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 4,047 individu yang disaring, 1,019 kes dikenal pasti positif dalam kluster-kluster ini dengan kadar positiviti 25.1 peratus.

“Daripada jumlah 1,019 kes tersebut, dua kematian dilaporkan sehingga kini dan satu kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan sub-kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri tertinggi adalah Sabah dengan tujuh kluster (26.9 peratus), Kelantan lima (19.2 peratus) serta Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing  dua (7.7 peratus).

Beliau menjangkakan jumlah kes dan bilangan kluster ini akan bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri serta daerah.

“Meskipun Kerajaan menetapkan ziarah raya dan penganjuran majlis perayaan tidak dibenarkan, namun masih ramai yang tidak endah larangan ini yang mengakibatkan tercetusnya kluster-kluster baru Covid-19 sehingga ada yang mengakibatkan kes maut,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sejumlah 20 kluster rentas negeri melibatkan 1,420 kes dilaporkan sejak 1 April lalu sehingga semalam.

“Daripada jumlah itu, negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster tertinggi adalah Melaka dengan lapan kluster (40 peratus), Terengganu tiga (15 peratus) serta Kelantan, Perak dan Pahang dengan masing-masing dua (10 peratus),” ujarnya.

Kluster-kluster rentas negeri adalah termasuk yang berpunca dari kes indeks yang merentas negeri misalnya untuk pulang bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, menziarahi keluarga, menghadiri majlis perkahwinan, majlis hari jadi, majlis pengebumian atau kursus di negeri lain serta pelbagai aktiviti merentas negeri.

Related posts

Leave a Comment