Singapura tidak hantar jemaah haji

SINGAPURA 27 Mei –  Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengambil ketetapan menangguhkan penghantaran jemaah haji ke Tanah Suci Makkah tahun ini berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang “berubah-rubah” sekarang.

Tahun lepas, Singapura antara negara terawal yang mengumumkan tidak menghantar jemaah walaupun ketika itu Arab Saudi belum memutuskan sama ada ibadah itu terbuka atau tidak untuk jemaah luar negara.

Dalam kenyataan medianya, MUIS akan membantu dalam peruntukan tempat bagi 900 jemaah haji yang terjejas tahun ini ke tahun hadapan, tertakluk kepada syarat-syarat pihak berkuasa Arab Saudi dan Singapura serta keadaan pandemik ketika itu.

MUIS menjelaskan keadaan pandemik sekarang “berubah-ubah” lebih-lebih lagi penularan varian-varian baharu sejak kebelakangan ini.

“Semakin banyak negara melaporkan gelombang jangkitan baharu dan bulan-bulan mendatang kemungkinan akan terus mencabar. Walaupun banyak negara telah memvaksinasi penduduk mereka, kadar vaksinasi di banyak negara masih rendah,” kata MUIS.

Menurut MUIS lagi, keputusan yang dibuatnya disokong oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa, dan merupakan lanjutan fatwa yang diumumkan tahun lalu.

Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa berdasarkan situasi terkini seperti yang dijelaskan di atas, pertimbangan dan keputusan fatwa 6 Mei 2020 masih kekal relevan buat tahun ini.

Justeru Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa ibadah haji tahun ini (2021M/1442H) masih perlu ditangguhkan, sehingga keadaan beransur pulih dan selamat kelak.

Walaupun  “mempunyai keyakinan penuh terhadap cara pihak berkuasa Arab Saudi mengendalikan Covid-19 termasuk musim Haji 2021, MUIS menjelaskan Singapura mempunyai pertimbangan sendiri untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan jemaahnya.

Related posts

Leave a Comment