Solat Jumaat di Johor 12 orang

JOHOR BAHRU 25 Mei – Mulai esok hanya empat orang jemaah termasuk imam, bilal dan noja, dibenarkan menunaikan solat fardu di masjid, surau Jumaat serta surau kariah di Johor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi solat Jumaat pula hanya 12 jemaah dibenarkan iaitu dihadkan kepada ahli jawatankuasa pengurusan tidak termasuk imam, bilal dan noja.

Pada masa yang sama jarak antara saf hendaklah diselangkan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Md Rofiki Samsudin di sini hari ini.

Sebanyak 91 masjid dan surau di Johor diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan setakat semalam dan susulan itu Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) setelah diperkenankan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menetapkan bilangan jemaah di masjid, surau Jumaat dan surau kariah perlu dihadkan.

“Arahan itu terpakai sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan MAIJ. Justeru, dalam situasi Covid-19 yang semakin meningkat, marilah kita bersatu hati merafakkan doa, mendirikan solat secara berjemaah di rumah masing-masing dan melakukan amalan kebaikan yang lain agar wabak ini segera berakhir,” kata kenyataan itu.

Selain itu, ruang solat bagi musafir, solat jenazah di masjid atau surau dan aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam adalah tidak dibenarkan bermula esok, namun pengebumian jenazah dibenarkan dengan kehadiran 12 orang waris keluarga terdekat dengan syarat bukan jenazah pesakit Covid-19.

Related posts

Leave a Comment