Kitalah senjata, vaksin dan benteng terakhir

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ‘yang diperketat’ bermula hari ini di seluruh negara. Kebanyakan aktiviti bermula pukul 8 pagi dan berakhir 8 malam. Rakyat diminta duduk di rumah dan kerja dari rumah.

Pada masa yang sama patuhlah Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila keluar rumah atas keperluan tertentu. Itulah nasihat yang begitu mudah untuk dipatuhi bagi mengurangkan pergerakan manusia ke sana ke sini ke sana ke sini.

Kes Covid-19 semakin meningkat. Virus sudah ada dalam komuniti. Begitu pantas penularannya. Hari ini 7,289. Berpotensi mencecah 10,000 kes sehari. Amaran kepada kita untuk bersedia menghadapi situasi yang lebih buruk.

Pelbagai nasihat sudah diberi. Saluran media sosial kita serta televisyen telah memainkan peranan menyiarkan pelbagai berita atau kisah duka pesakit berhadapan rawatan pemulihan dan juga kematian.

Kita sudah didedahkan situasi di pusat kuarantin, hospital, prosedur di wad Unit Rawatan Rapi, menjenguk bilik mayat tambahan menggunakan kontena malahan kita ‘dibawa’ ke tanah perkuburan untuk melihat norma baharu pengebumian.

Apakah semuanya itu belum dapat menginsafkan kita? Vaksin bukanlah satu ‘senjata’ ampuh yang boleh menghapuskan virus ini. Mereka yang mendapat vaksin juga boleh dijangkiti. Begitulah sukarnya kita menghafapi musuh yang tidak nyata ini.

Kita tidak ada pilihan lain. Jangan lagi menganggap jika sakit masuk hospital. Buat masa sekarang, setiap orang pastinya mahu mengelak dimasukkan ke hospital, bukan sahaja kerana Covid-9 malahan disebabkan penyakit lain.

Kita tidak tahu kesiapsiagaan hospital untuk menerima pesakit walaupun mempunyai wang atau insurans kesihatan.

Contoh terdekat nahas LRT malam tadi yang berlaku ketika petugas kesihatan sedang bertungkus lumus dengan Covid-19. Itu satu contoh yang masih boleh dianggap kecil, bukan tragedi lain yang boleh mengancam lebih banyak jiwa.

Ketika petugas kesihatan tertumpu kepada Covid-19 , berada di hospital ketika ini mungkin sesuatu yang amat merisaukan.

Kita tidak ada pilihan kecuali mengawal diri sendiri. Kawalan kendiri amat penting tetapi itu sahaja belum dapat menjamin “keselamatan” kita. Manusia ini ada pelbagai perangai. Yang berkepentingan untuk diri sendiri pun ramai.

Semuanya bergantung kepada sikap. Ibarat di jalan raya, anda mungkin boleh memandu dengan cara selamat tetapi bagaimana dengan pemandu lain?

Ketika anda patuh ‘SOP’ memandu, tiba-tiba ada kereta melanggar anda dari belakang, tiba-tiba kenderaan dari arah bertentangan terbabas menghempap kenderaan anda  atau tiba-tiba muncul kenderaan yang menongkah arus.

Begitulah diri anda yang patuh SOP belum pasti selamat jika orang lain tidak ambil peduli SOP kerana menganggap diri sendiri hebat, kebal dan pelbagai keegoan.

Perokok yang tahu merokok di tempat awam dilarang dan menjadi satu kesalahan tetapi selamba sahaja merokok di restoran atau tempat awam yang akhirnya bukan perokok menjadi mangsa asap rokok.

Amat malang disebabkan sikap sesetengah orang yang tidak tahu menghargai kesihatan diri orang lain menjadi mangsa. Hukuman yang dikenakan kadang-kadang tidak mampu menakutkan atau mendidik orang yang melakukan kesalahan.

Ingatlah, Covid-19 tidak memilih mangsa sama ada tua muda, miskin kaya, atau profesion. Doktor dan jururawat juga dijangkiti. Ringkasnya tiada yang kebal termasuklah yang sudah divaksin.

Kita hanya mampu mengelak dengan mematuhi SOP yang ditetapkan serta meningkatkan disiplin diri untuk menghormati orang lain.

Hakikatnya kitalah vaksin, kitalah senjata dan benteng terakhir yang boleh menghadapi Covid-19 ini. Jangan biarkan diri kita tewas disebabkan kealpaan ini. Bersama kita mencari jalan mencegah jangkitan bukannya menjadi penyebar virus.

(Sebab itu sejak awal lagi (2020) laman web saya ini menggunakan tag line kitalah senjata @ vaksin Covid-19 : Bersama Mencegah Bukan Menyebar)

Jagalah diri, jika bergejala atau positif jangan mendedahkan diri kepada orang lain. Jangan seperti seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit. Jangan seperti pengebom berani mati yang membawa bom di kawasan khalayak yang akhirnya membunuh orang yang tidak berdosa.

Related posts

Leave a Comment