Penggunaan katil ICU 89 peratus

PUTRAJAYA 19 Mei – Setakat semalam, 18 Mei, kadar penggunaan katil rawatan kritikal / ICU pesakit Covid-19 di Lembah Klang mencapai 89 peratus, kata

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kadar keseluruhan penggunaan katil ICU pesakit Covid-19 di seluruh negara pula mencecah 74 peratus manakala Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil Covid-19 ICU melebihi 80 peratus.

Hospital Covid-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

“Peningkatan kes-kes secara mendadak kebelakangan ini telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham dalam satu hantaran Facebooknya menggesa rakyat Malaysia untuk terus patuh berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Rakyat adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar. Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!,” katanya.

Pada Selasa, Malaysia merekodkan sebanyak 4,865 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 479,421 kes.

Related posts

Leave a Comment