Negeri boleh beli vaksin sendiri

PUTRAJAYA 18 Mei – Kerajaan negeri dibenarkan membeli vaksin sendiri dengan syarat mendapat kelulusan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) dan diperoleh daripada syarikat farmaseutikal yang sama dibeli melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagaimanapun Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, berdasarkan syarat perjanjian di antara kerajaan Persekutuan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin berkenaan, pembekalan stok vaksin yang telah ditempah perlu dan akan didahulukan kepada kerajaan (Persekutuan).

Langkah itu bagi memastikan pelaksanaan PICK sebelum diberi kepada mana-mana pihak lain.

“Ia termasuk kerajaan negeri, pihak industri atau hospital swasta yang membuat tempahan dan pembelian selepas kerajaan Persekutuan, melainkan melalui pembekal yang tidak terlibat dalam PICK,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada masa yang sama, Khairy sekali lagi mengulangi bahawa pembekalan vaksin percuma adalah mencukupi untuk semua individu yang layak di semua negeri.

Dalam perkembangan sama, katanya Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengalu-alukan sebarang usaha dari mana-mana pihak yang ingin membantu PICK dengan menyumbangkan bekalan dos vaksin kepada PICK atau negeri dengan syarat vaksin yang akan disumbangkan telah mendapat kelulusan NPRA.

Buat masa ini, tiga jenis vaksin yang telah mendapat kelulusan NPRA adalah vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Khairy turut menjelaskan bahawa CITF mengambil maklum tentang hasrat Yayasan Sekhar untuk menyumbangkan bekalan vaksin jenis Sinovac kepada PICK.

Bagaimanapun, setelah diperiksa dengan pihak Sinovac di China dan Pharmaniaga iaitu pemegang lesen bagi vaksin Sinovac di Malaysia, tiada apa-apa permohonan atau pembelian mahupun dokumen rasmi berkaitan perkara ini yang telah dikemukakan oleh Yayasan Sekhar.

Related posts

Leave a Comment