PKPD Kota Setar 19 Mei – 1 Jun

PUTRAJAYA 17 Mei – Bandar Alor Setar dan seluruh daerah Kota Setar serta dua kampung di dua jajahan di Kelantan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 19 Mei hingga 1 Jun berikutan peningkatan kes Covif-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, sehingga 16 Mei sebanyak 975 kes aktif Covid-19 di seluruh daerah Kota Setar dengan enam mukim direkodkan sebagai Zon Merah iaitu Mukim Kota Setar (78 kes), Mukim Mergong (223 kes), Mukim Pengkalan Kundor (143 kes), Mukim Derga (138 kes), Mukim Kangkong (55 kes) dan Mukim Anak Bukit (61 kes).

KKM mengesahkan penularan jangkitan Covid-19 telah tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari sahaja iaitu bermula 8 hingga 16 Mei, sebanyak 799 kes positif Covid-19 dikesan.

Ini menjadikan sebanyak hampir 100 kes sehari di Kota Setar direkodkan secara purata, yang melibatkan beberapa kluster sedia ada dan Kluster Dah Putih iaitu kluster terbaru di daerah Kota Setar.

Selain itu beliau juga memaklumkan pelaksanaan PKPD di dua lokaliti di Kelantan iaitu di Kampung Pauh Lima Mukim Gunong di Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu di Kota Bharu.

Ismail Sabri menjelaskan KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu iaitu peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

Dalam kenyataan itu juga beliau memaklumkan pelanjutan PKPD di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang bermula 19 hingga 25 Mei ini.

Selain itu, pelanjutan PKPD turut dilaksanakan di PKPD Rumah Panjang Dinggai, Sungai Amut Atas, Pakan, Sarikei, Sarawak sehingga 26 Mei.

Related posts

Leave a Comment