Risiko berpatah balik di tol

IPOH 7 Mei – Bagi yang berani rentas daerah sempena Hari Raya Aidilfitri nanti, apa pula helah mereka untuk merentasi lebuh raya atau jalan persekutuan. Tersilap langkah bukan sahaja dikompaun tetapi terpaksa berpatah balik.

Itu ingatan atau amaran polis Perak terutama kepada pengguna lebuh raya.

Kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid, mana-mana pengguna lebuh raya yang didapati mempunyai kadar bayaran tol tidak munasabah dan tinggi akan dikenakan kompaun selain diarah berpatah balik ekoran kesalahan rentas.

Menurut laporan AstroAwani, beliau berkata akan ada pemeriksaan (oleh beberapa anggota di plaza tol), tetapi tidak kepada semua kenderaan.

“Kita mungkin tengok pada kadar bayaran tol. Contohnya bila bacaan tol itu tinggi seperti dari Jalan Duta, kita akan hentikan kenderaan tersebut untuk tindakan kompaun dan arah pengguna berpatah balik kecuali mereka yang ada surat pelepasan. Ini satu daripada strategi,” katanya?

Bagaimanapun katanya, kadang-kadang ada yang pandai keluar tol itu ini untuk elak dikesan rentas negeri. Mereka ada pelbagai taktik.

“Kita tidak mampu periksa semua pengguna jalan raya. Berilah kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara hari ini.

Related posts

Leave a Comment