Boleh solat Aidilfitri di N. Sembilan

SEREMBAN 7 Mei – Negeri Sembilan membenarkan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di semua masjid dan surau di negeri itu dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti ruang solat serta pematuhan penjarakan fizikal.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata,  surau pula perlu membuat permohonan di pejabat agama daerah masing-masing bagi tujuan itu.

“Takbir raya juga dibenarkan, terhad kepada jumlah jemaah mengikut kapasiti ruang solat namun amalan takbir rumah ke rumah tidak dibenarkan sama sekali. Jamuan hari raya dan sebarang jamuan selepas Aidilfitri di semua masjid dan surau juga tidak dibenarkan,” katanya hari ini.

Aminuddin berkata aktiviti menziarahi kubur hanya dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan kehadiran empat orang dalam satu kumpulan bagi satu kubur selama 30 minit.

Beliau turut menegaskan masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP akan ditutup selama seminggu, serta menasihati mereka yang tidak sihat atau mempunyai gejala Covid-19 agar tidak ke masjid dan surau.

Related posts

Leave a Comment