Mesir kawal sambutan Aidilfitri

MESIR mengumumkan penutupan separa semua pusat beli-belah dan restoran selain mengawal ketat sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengekang peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Penutupan kafe, pusat beli-belah dan restoran itu akan dikuatkuasakan mulai pukul 9 malam 6 Mei sehingga 21 Mei.

Perdana Menteri Mostafa Madbouli dalam satu sidang media berkata Mesir kini berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan menggesa rakyat mematuhi garis panduan kesihatan serta segera mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

Mesir, negara Arab dengan jumlah penduduk paling ramai, merekodkan hampir 232,000 kes positif dengan lebih 13,000 kematian setakat ini.

“Anda bertanggungjawab bukan sahaja terhadap diri anda sendiri tetapi juga keluarga anda. Kita kini berada pada tahap kritikal,” katanya.

Pemerintah sebelum ini memaklumkan cuti Aidilfitri akan disambut mulai 12 hingga 16 Mei ini di mana pantai, taman dan kemudahan rekreasi akan ditutup sepanjang cuti lima hari tersebut.

Beliau menambah sebarang penganjuran konsert atau keramaian besar-besaran seperti majlis perkahwinan tidak akan dibenarkan.

Bagaimanapun umat Islam dibenarkan menunaikan solat Aidilfitri di masjid-masjid terpilih di mana solat Jumaat diadakan.

Menurut Madbouli lagi, kira-kira 1.7 juta individu sudahpun didenda sejak beberapa bulan lalu kerana tidak memakai pelitup dan beratus-ratus ribu shisha juga dirampas daripada kafe-kafe tempatan.

Mesir dijangka menerima sejumlah 4.9 juta dos vaksin Covid-19 bulan ini.

Related posts

Leave a Comment