Penularan semula uji daya tahan kita

SINGAPURA 6 Mei – Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir mengajak masyarakat Islam supaya tidak mengalah dengan penularan semula Covid-19 yang kembali meningkat sehingga langkah-langkah pengurusan selamat diperketatkan.

Sebaliknya beliau berkata, penularan Covid-19 yang kembali meningkat sebagai satu lagi ujian dan peluang untuk mempertingkatkan lagi daya tahan kita untuk meraih kemenangan rohani.

Katanya, walaupun sedih dan kecewa dengan langkah-langkah lebih ketat yang akan dikuatkuasakan mulai 8 Mei, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, tetapi realitinya adalah kita masih dalam situasi pandemik.

Dr Nazirudin berkata demikian dalam rancangan Sembang Malam Ramadan yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook dan YouTube SalamSG TV semalam.

Katnya, dalam menyambut Aidilfitri ini, setiap anggota masyarakat perlu terus mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat bagi membendung penularan Covid-19, terutamanya varian baharu yang lebih mudah berjangkit dan berbahaya.

Beliau menekankan betapa pentingnya sifat bertanggungjawab atas keselamatan orang lain di mana dengan berbuat demikian, umat Islam turut menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat dan negara

Malahan melalui sifat bertanggungjawab inilah, “orang lain akan mengenali agama kita sebagai agama yang penuh kesejahteraan.

Beliau juga mengajak masyarakat merenung kembali tempoh yang dilalui sepanjang lebih setahun lalu yang telah mendidik umat Islam supaya terus bersabar dan menguatkan lagi tekad masing-masing untuk menempuh lebih banyak ujian.

Dr Nazirudin turut mengingatkan umat Islam bahawa matlamat utama sambutan Aidilfitri adalah untuk meraikan kemenangan rohani.

Justeru, katanya, kesabaran dan ketabahan yang diuji dalam menangani situasi Covid-19 lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini tidak sia-sia, bahkan ia bakal menjadi satu kejayaan yang wajar diraikan.

“Semua perkara ada baik, ada kekurangannya. Jadi sebagai satu sifat kita yang beriman ini, kalau boleh, apa pun situasi kita, fokus pada yang positif,” katanya.

Related posts

Leave a Comment