Thailand sekali lagi catat 21 kematian

BANGKOK 2 Mei – Thailand sekali lagi merekodkan  21 kes kematian baharu akibat Covid-19, yang tertinggi bagi tempoh dua hari berturut-turut menjadikan jumlah kematian setakat ini 245 orang sejak pandemik itu melanda negara itu Januari 2020.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 1,940 kes baharu termasuk 10 kes import, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 68,984 kes.

Menurut Pusat Pentadiran Situasi Covid-19 (CCSA) kematian itu melibatkan 12 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 38 dan 88 tahun iaitu lapan di Bangkok, empat di Chiang Mai, masing-masing dua di Chonburi dan Lamphun serta masing-masing satu di Nakhon Pathom, Nakhon Sawan, Rayong, Tak dan Udon Thani.

 Bangkok mendahului senarai kes tertinggi dengan 539 jangkitan diikuti Nonthaburi (276) dan Samut Prakan (145).

Varian UK B.117 yang mudah merebak telah menyebabkan sejumlah 40,121 kes direkodkan di negara itu dengan 151 kematian sejak 1 April lepas.

Kes import yang melibatkan ketibaan dari luar negara adalah tiga kes dari Mesir dan masing-masing satu dari Sudan, Afrika Selatan, Austria, Korea Selatan , Norway, India dan Pakistan.

Sementara itu, Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan meningkatkan pengesanan kes aktif di bawah bidang kuasanya dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

BMA akan melaksanakan pengesanan kes aktif di lima daerah mulai esok.

Mengenai vaksinasi, beliau berkata Thailand telah memvaksinasi hampir 1.5 juta rakyatnya setakat ini, kebanyakannya merupakan kakitangan perubatan barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi dengan vaksin Sinovac dan AstraZeneca .

Related posts

Leave a Comment