SINGAPURA 14 April – Singapura melaporkan 27 kes baharu Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari ini yang melibatkan satu kes jangkitan dalam masyarakat sementara bakinya kes import.
Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), dalam kalangan kes baharu pada hari ini, 23 kes tidak bergejala dan dikesan melalui pemeriksaan dan pemantauan secara proaktif. Baki empat kes mengalami simptom jangkitan virus tersebut.
Satu kes jangkitan dalam masyarakat pada hari ini adalah seorang lelaki warga Papua New Guinea berusia 44 tahun yang merupakan pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Australia pada 25 Mac bagi urusan projek kerja di sini.
Beliau menjalani ujian sebelum berlepas dari Australia pada 23 Mac dan diuji negatif bagi Covid-19. Hasil ujian sejurus selepas beliau tiba di Singapura pada 25 Mac juga negatif. Satu lagi ujian pada 27 Mac dan 31 Mac setelah menjalani pengasingan juga negatif bagi virus itu.
Kes itu diklasifikasikan sebagai jangkitan tempatan kerana beliau berkali-kali diuji negatif bagi Covid-19 sebelum 12 April.
Berkaitan kes import pula melibatkan seorang rakyat Singapura dan empat Penduduk Tetap Singapura (PR) yang pulang dari India dan Filipina, dua pemegang pas kerja yang tiba dari India dan Nepal, 17 pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India dan Indonesia.
Satu kes import pula merupakan pemegang pas tanggungan yang tiba dari Sri Lanka dan seterusnya seorang pemegang pas lawatan jangka pendek yang merupakan seorang anak kapal yang tiba dari Filipina.
Beliau tidak turun dari kapal sehingga mengalami simptom dan kemudian dibawa ke hospital.
Sementara itu 18 kes dibenarkan keluar hospital dan secara keseluruhannya, 60,392 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan manakala 61 kes masih berada di hospital, dengan sebahagian besar dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih dan dua pesakit dalam keadaan kritikal.
.
