Umrah : Layak selepas diimunisasi

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan tiga kategori jemaah  yang dianggap sudah diimunisasi layak menunaikan umrah dan solat di Masjidilharam mulai bulan Ramadan ini.

Kategori itu adalah mereka yang sudah menerima dua dos vaksin, mereka yang menerima satu dos sekurang-kurangnya 14 hari sebelumnya dan mereka yang sudah pulih daripada jangkitan.

Dalam satu kenyataan, dasar itu diharap akan “meningkatkan keupayaan operasi” Masjidilharam sewaktu Ramadan.

Menurut kementerian itu, syarat-syarat itu juga terpakai bagi kemasukan ke Masjid Nabawi di Madinah.

Permohonan permit pula boleh dilakukan melalui aplikaksi Tawakkalna  dan Eatmarna.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut sama ada syarat-syarat itu terpakai sehingga musim haii tahun ini.

Pada lewat bulan Julai tahun lalu, Arab Saudi menerima jumlah jemaah haji yang lebih kecil.

Hanya sehingga 10,000 orang penduduk dan wakil negara Islam dibenarkan melakukan ibadah haji, jauh lebih kecil berbanding 2.5 juta Muslim dari merata dunia yang menunaikan haji pada 2019.

Tahun ini, masih belum jelas berapa ramai jemaah yang akan dibenarkan menunaikan haji.

Menurut akhbar pro-kerajaan, Okaz, hanya jemaah yang sudah menerima vaksin mungkin dibenarkan menunaikan ibadah itu tahun ini.

Dalam satu usaha melonggarkan sekatan pada Oktober lalu, Arab Saudi membuka semula Masjidilharam untuk jemaah menunaikan solat, buat kali pertama dalam tempoh tujuh bulan dan membenarkan ibadah umrah disambung semula dengan jumlah jemaah yang terhad.

Menurut pihak berkuasa, jumlah jemaah umrah akan dinaikkan kepada tahap maksimum sebaik sahaja ancaman pandemik ini berkurangan.

Related posts

Leave a Comment