Britain cadang longgar sekatan

LONDON: Ketika negara Eropah lain sedang bergelut mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19, Britain akan melonggarkan sekatan dengan mengumumkan beberapa operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan kedai buku boleh beroperasi semula minggu hadapan.

Perdana Menteri, Boris Johnson bagaimanapun menegaskan masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkenaan kebenaran rentas negeri semasa cuti musim panas.

Malah jelasnya, pihaknya kini mengkaji dengan lebih teliti berkenaan sistem pasport vaksin bagi membolehkan rakyat negara itu mengembara.

“Saya ingin menegaskan bahawa terhadap isu rumit berkenaan etika dan praktikal, seperti yang saya katakan sebelum ini, idea sijil status vaksinasi ini, dengan menggunakan vaksin, masih ramai yang belum mendapat bekalan itu.

“Contohnya atas sebab perubatan seperti wanita mengandung dan sebagainya. Jadi kita perlu berhati-hati bagaimana untuk menanganinya dengan tidak memulakan sebuah sistem yang mendiskriminasi,” kata Johnson.

Johnson mengadakan sidang media bersama Ketua Pegawai Perubatan Prof Chris Whitty dan Ketua Penasihat Saintifik Sir Patrick Vallance.

Britain menyasarkan untuk memberikan suntikan vaksin kepada semua kumpulan orang dewasa di negara itu menjelang Julai.

Ia diharap membuka jalan untuk mengembalikan rutin kehidupan normal.

Johnson juga meminta penduduk negara itu supaya tidak mengambil mudah pandemik ini kerana kita tidak tahu sejauh mana keberkesanan vaksin memberi perlindungan ketika kes masih meningkat.

Beliau meminta penduduk mendapatkan vaksin apabila tiba giliran mereka serta menjalani ujian walaupun tidak sakit kerana satu dari tiga orang yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala.

Dalam perkembangan berkaitan, Sir Patrick Vallance mengesahkan akan memulakan kajian vaksinasi terhadap kanak-kanak.

Related posts

Leave a Comment