Pas tidak pernah rugi

Sedutan Minda Presiden PAS

PAS: BUDAYA POLITIK MATANG SEJAHTERA (BPMS)

Sejak PAS ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1951 dan memasuki arena politik tanah air, PAS tidak dapat diharamkan melalui tindakan undang-undang dan politik oleh lawan serta musuhnya kerana tidak bertemu apa-apa alasan untuk mengharamkannya.

Kebijaksanaan para pengasas yang memimpin PAS menjadikannya sebuah Harakah Islamiah (Gerakan Islam) yang berdiri atas prinsip aqidah yang kukuh dan bergerak dengan hikmah.

Alhamdulillah, PAS tidak pernah mengalami kerugian dalam semua kerjasama politik dengan pihak lain, bahkan sudah ada beberapa parti yang berkubur dan sebahagiannya tanpa nisan setelah berpisah dengan PAS.

Kenyataan ini bukannya kerana berasa angkuh dan cakap berdegar-degar, tetapi merupakan suatu hakikat yang terpahat kukuh sepanjang perjalanan politik PAS.

Namun, bahtera PAS gagal untuk ditembusi dan tidak dapat ditenggelamkan. Sebaliknya, mereka yang berjaya ditarik keluar daripada PAS, akhirnya tenggelam dalam lipatan sejarah, sama ada ketika masih hidup atau setelah meninggal dunia.

Bahtera Islam ini terus berjalan semakin laju, tidak tersungkur kerana melampau dan tidak ketinggalan kerana jatuh. Bahkan ahli PAS semakin ramai, penumpangnya pula sentiasa bertambah dan menjadikan penggeraknya sentiasa silih berganti. Hal ini menjadikan PAS lebih matang kerana pengalamannya bertambah dan perjalanannya lebih sejahtera, insya-Allah.

Jalan yang benar ialah jalan Islam yang sempurna, bukan jalan menganuti ideologi ciptaan manusia.

Tujuan PAS sudah terang lagi bersuluh, bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin. Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya itu pasti ditinggalkan.

Konsep demokrasi yang konsisten terus menjadi pendekatan yang dipilih oleh PAS, dan masyarakat majmuk terus menjadi lapangannya. Politik Islam yang diamalkan oleh PAS wajib memimpin, demi memelihara aqidah perjuangan bagi menegakkan konsep adil dan berkebajikan kepada semua, serta hala tuju yang tidak terpesong daripada arah wawasannya.

PAS bersabar dan terus bersabar, sehingga tidak berdendam terhadap sesiapa yang pernah menzaliminya, walaupun orang yang zalim itu terus tidak insaf, kerana matlamat PAS ialah menjadi penyelamat manusia seramai mungkin, termasuklah menyelamatkan orang yang zalim.

Mereka yang berjuang kerana tujuan untuk mengumpulkan harta, bukan mengumpulkan harta kerana perjuangan, sudah tidak layak lagi memimpin umat. Walaupun ramai yang tidak berminat lagi kepada petunjuk Islam.

PAS terus yakin kepada petunjuk daripada Allah SWT. Maka, PAS terus mengajak masyarakat Melayu yang telah Islam untuk terus bersama Islam. Manakala mereka yang terpesong diajak kembali semula kepada Islam yang sempurna, atau kaum lain yang menerima Islam pula layak untuk memimpin.

Islam adalah agama yang wasatiyyah (sederhana dan adil kepada semua). Maka, PAS menolak semua golongan ekstrem yang mengaku Islam termasuklah dalam kalangan bukan Islam. PAS juga menolak golongan liberal yang kehilangan dasar Islam, bahkan ada yang kehilangan sifat kemanusiaannya.

Kini, PAS disertai oleh kalangan ilmuwan dan mereka yang berpengalaman bersama rakyat bawahan, sama ada rakyat yang mengenal huruf dan buta huruf. Namun, hati mereka tidak buta, kerana kami berada dalam cahaya yang menyuluh perjalanan dan bermegah bersama Islam.

Apa gunanya jika seseorang itu nampak huruf dengan mata, tetapi akalnya tidak sihat kerana kerakusan nafsu terhadap kehidupan dunia tanpa wawasan akhirat, atau disebabkan pintu hatinya tertutup dan tidak layak mendapat hidayah. Walaupun dirinya bijak seperti Iblis yang pernah melihat syurga dan neraka atau para ulama’ ahli Kitab yang dimurkai oleh Allah SWT kerana berilmu tetapi mengkhianati ilmunya. Hal yang demikian kerana, akalnya masuk ke dalam perut, bukan lagi berada di kepalanya.

PAS bukanlah satu-satunya kumpulan Islam, namun PAS mempunyai kekuatan akar umbi dan kepimpinan yang mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti. Selain itu juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.

PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal. Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.

PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

PAS menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.

PAS menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.

Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajkan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa.

Marilah sama-sama menolak ekstremisme dan liberalisme yang merungkaikan ikatan agama dan bangsa.   

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Related posts

Leave a Comment