Bersatu, Pas kukuh kerjasama PN

KUALA LUMPUR 31 Mac –  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sepakat untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kedua-dua parti itu juga menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Bersatu dan Pas juga akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti untuk menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen.

Dalam kenyataan bersama, Bersatu dan Pas menegaskan sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut.

“Ia sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama,” kata kenyataan itu..

Kenyataan itu ditandatangani bersama Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

Keputusan tersebut dicapai selepas kepimpinan tertinggi kedua-dua parti mengadakan pertemuan pada Selasa.

Pertemuan itu melibatkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Bersatu dan Pas menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Related posts

Leave a Comment