Kelonggaran aktiviti agama di masjid

KUANTAN 19 Mac – Mulai hari ini Kerajaan negeri Pahang memberi beberapa kelonggaran berhubung aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk kebenaran penganjuran kuliah dan majlis ilmu.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebelum ini, hanya kuliah Maghrib dan tazkirah subuh sahaja dibenarkan, dan kini diperluaskan meliputi kuliah Dhuha, kuliah sebelum solat Jumaat, kelas al-Quran dan fardu ain.

Turut dibenarkan adalah Kelas Tafaqquh Fid-din anjuran Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang, bacaan Yasin dan tahlil serta jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu.

Kelonggaran berkenaan telah mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kelonggaran itu juga meliputi kehadiran pada majlis akad nikah di masjid dengan mengikut ruang yang ditetapkan berbanding hanya 20 orang sebelum ini, selain kanak-kanak tujuh tahun dan ke atas turut dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat fardu.

Tambah Wan Rosdy, perkara lain berkaitan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri, hendaklah terus diamalkan.

Related posts

Leave a Comment