Harga siling RON95 ditetapkan RM2.05

PUTRAJAYA 17 Mac – Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diambil memandangkan harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.

“Kerajaan pada masa ini menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai RM3 bilion pada harga semasa,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion, dengan suntikan fiskal banyak RM11 bilion.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum (LPG).

“Harga sebenar di pasaran setong gas LPG bersaiz 14 kg pada masa ini adalah sekitar RM50. Namun, harga runcit telah ditetapkan pada paras RM26.60 setong.

“Oleh itu, Kerajaan telah memberi subsidi hampir 50 peratus bagi setiap tong LPG 14 kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus memberi subsidi berkenaan supaya harga barangan keperluan harian kekal berpatutan.

Related posts

Leave a Comment