DAP mahu tambah kerusi di Perak

IPOH 14 Mac – DAP Perak berhasrat untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, dari Amanah dan PKR mengenai pengagihan kerusi bagi mengelakkan sebarang pertembungan kerusi kelak.

“Kita mempunyai rekod pencapaian yang membanggakan, tetapi demi menghormati rakan-rakan seperjuangan yang lain, saya cuba merayu dan memohon, supaya Majlis Presiden Pakatan Harapan merestui hasrat kita supaya dapat membantu kembali mengambil semula pimpinan kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-19 yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) di sini, hari ini.

Pada PRU-14, DAP memenangi kesemua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti itu iaitu tujuh kerusi Parlimen dan 18 DUN.

Tujuh kerusi Parlimen itu adalah Taiping, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Kampar dan Teluk Intan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam, kedua-duanya dari DAP, keluar dari parti itu Mac lalu kini menyertai Bersatu.

Related posts

Leave a Comment