Dr. M penerima tertua di Malaysia

LANGKAWI 7 Mac – Bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dan isteri  Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Lada di Langkawi pada hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu merupakan penerima vaksin Covid-19 tertua di Malaysia.

Perkara berkenaan dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Di umur 96, Tun Mahathir ialah penerima tertua vaksin Covid-19 di Malaysia,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Melalui ciapannya juga, Khairy turut menggalakkan lebih ramai warga emas mendaftar bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19.

“Kami menggalakkan lebih ramai warga emas mendaftar bagi fasa dua program imunisasi. #LindungDiriLindungSemua,” katanya.

Sementara itu Dr Mahathir menyeru rakyat supaya tampil mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19, berdasarkan keyakinan vaksin itu mampu mengurangkan jangkitan.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu meragui keberkesanan vaksin Covid-19 yang sudah diluluskan pihak berkuasa.

Ada vaksin yang perlu disuntik dua kali, malah ada cuma sekali, tapi vaksin Covid-19 yang diluluskan pihak berkuasa semua sudah ditapis dan berkesan.

“Proses suntikan semua rakyat perlu dipercepatkan kerana penduduk Malaysia kira-kira 33 juta, tidak ramai berbanding Amerika ada 360 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, proses suntikan juga amat singkat.

“Tak rasa apa pun, (proses suntik) sekejap sangat tak sampai satu minit, lebih lama ketika proses mendaftar sebab kena jawab banyak soalan.

“Sekarang, saya rasa lega,” katanya.

Related posts

Leave a Comment