Lompat bererti kerusi kosong?

KOTA KINABALU 1 Mac – Jika benar ada ‘surat peletakan jawatan’ atas sebab melompat parti, adakah ia boleh diterima sebagai mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ? Dan pilihan raya kecil (PRK) boleh diadakan?

Ini persoalan menarik apabila Parti Warisan Sabah (Warisan) mendakwa wakil rakyatnya menandatangani surat peletakan jawatan sebelum menerima watikah pelantikan sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

Warisan akan menghantar surat ‘peletakan jawatan’ Hassan A Gani Pangiran Amir kepada Yang di-Pertua DUN Sabah, esok bagi mengotakan ikrarnya untuk melepaskan jawatan sebagai Adun Sebatik jika melompat parti.

Surat berkenaan akan turut diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal dalam sidang media yang diadakan petang ini berkata:  “Kami akan serahkan kepada Yang di-Pertua DUN terlebih dahulu dan salinannya kepada SPR serta Yang di-Pertua Negeri Sabah… esok atau lusa,”.

Surat peletakan jawatan itu dikatakan ditandatangani Hassan A Gani pada 10 September 2020 sebelum beliau menerima watikah pelantikan sebagai calon Warisan bagi kerusi DUN Sebatik pada PRN Sabah Ke-16.

Rakaman video yang menyaksikan Hassan A Gani berikrar untuk setia kepada Warisan dan kesediaannya menandatangani surat berkenaan sebagai bukti keikhlasannya turut didedahkan kepada media.

Sumpah yang dilafazkan itu amat jelas mengenai pengosongan kerusi dan peletakan jawatan sekiranya beliau beralih sokongan sebelum pembubaran DUN.

Bagaimanapun Hassan mendakwa surat perjanjian itu sebagai tidak sah.

“Hari ni  viral video akujanji dan sumpah saya di media sosial.Betul saya bersumpah tapi sumpah ini tidak sah kerana terpaksa. Sekiranya saya tidak bersumpah saya tidak akan dicalonkan,” katanya melalui Facebooknya.

Beliau juga berkata “Saya sokong GRS kerana rakyat di kawasan Sebatik”

Pada 25 Februari lalu, Hassan A Gani didakwa mengingkari ikrar tersebut apabila mengumumkan meninggalkan Warisan dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau memenangi kerusi itu dalam pertandingan tujuh penjuru dengan majoriti 522 undi mengalahkan pesaing terdekat dari Bersatu.

Mohd Shafie berkata, Warisan tidak pernah memaksa mana-mana calon parti itu menandatangani surat tersebut sebaliknya mereka melakukannya atas kehendak sendiri untuk menjadi calon.

Tambahnya, surat tersebut ditandatangani di hadapan barisan peguam sebagai saksi.

“Bukan ada paksaan… tiada tekanan sebelum dia menjadi YB (wakil rakyat) dan semua YB kita minta lafazkan janji mereka selaku parti dan selaku pimpinan bahawa jangan khianati perjuangan ini,” katanya.

Mereka tandatangan di hadapan peguam yang dilantik oleh parti dan ada saksi.

Related posts

Leave a Comment