261 kes baharu di Arab Saudi

RIYADH 31 Jan. – Kes jangkitan harian Covid-19 di Arab Saudi terus melepasi 250 kes apabila 261 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 368,074 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan, dalam tempoh yang sama, kes pesakit meninggal dunia pula mencatatkan tiga kes  menjadikan 6,375 kematian manakala kes aktif pula 2,126, di mana 362 kritikal.

Sebanyak 274 pesakit pulih yang membawa kepada jumlah sembuh meningkat kepada 359,573 orang atau 97.67 peratus.

Riyadh merekodkan kes harian tertinggi dengan 93 kes diikuti wilayah Timur 53 dan Makkah 49.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr. Tawfiq Al-Rabiah mengingatkan orang ramai lebih serius mematuhi  langkah-langkah pencegahan bagi membandung penularan wabak Covid-19.

Beliau mengingatkan peningkatan kes sejak kebelakangan ini antara lain disebabkan kelonggaran yang diberi serta majlis sosial atau pertemuan.

“Ini adalah waktu yang sukar dan kegagalan pematuhan akan memaksa kita untuk mengambil langkah pencegahan lebih lanjut untuk melindungi masyarakat ,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Al-Rabiah mengingatkan tentang “risiko gelombang kedua wabak sekiranya masyarakat gagal mematuhi  protokol pencegahan.

Katanya, banyak negara di dunia mengalami gelombang kedua dari pandemik koronavirus dan Arab Saudi bukannya kebal terhadap pandemik yang lebih besar dan berbahaya berbanding yang pertama.

Related posts

Leave a Comment