Warga emas Singapura dapat suntikan

SINGAPURA 27 Jan. – Program vaksinasi Covid-19 bagi warga emas Singapura bermula hari ini dengan penduduk berkenaan yang tinggal di Tanjong Pagar dan Ang Mo Kio menerima suntikan dos pertama.

Kedua-dua kawasan tersebut mempunyai jumlah penduduk warga tua yang lebih tinggi dan pemerintah mempelawa antara 5,000 hingga 10,000 warga emas dari setiap kawasan untuk disuntik dengan vaksin.

Sempena program itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang juga Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio turut melakukan lawatan ke Poliklinik Ang Mo Kio yang merupakan salah satu daripada dua pusat vaksinasi bagi kawasan tersebut.

Sebuah lagi pusat vaksinasi akan ditubuhkan di Kelab Masyarakat Teck Ghee menjelang 1 Februari.

Menurut Lee, sebahagian besar daripada 200 orang yang sudah mendaftar untuk divaksin pada Rabu hadir di pusat berkenaan untuk mendapatkan suntikan.

“Saya rasa para penduduk memandang serius terhadap program vaksinasi ini dan berharap rakyat Singapura akan tampil untuk mendapatkan vaksin apabila tiba giliran mereka kerana ia baik untuk anda, selamat, percuma, dan akan membantu kita semua,” tambah beliau.

Katanya, kesan vaksin ini mengambil masa beberapa minggu kerana  memerlukan dua suntikan dan perlu memvaksinasi hampir semua orang di Singapura sebelum berhasil mencapai paras imuniti kelompok.

Lee turut menggesa orang ramai supaya mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat sepanjang tempoh cuti Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang bagi mencegah penularan lanjut di Singapura seperti pada Mac dan April tahun lalu, apabila jumlah jangkitan melonjak.

“Saya bimbang, ini satu risiko kerana Tahun Baharu Cina – sama seperti Hari Raya, seperti perayaan-perayaan lain, Krismas dan lain-lain – orang ramai akan berkunjung satu sama lain dan anda tentu sekali mahu meraikan dan menikmati perayaan masing-masing,” kata Lee.

Beliau berkata, menjamu selera, beramah mesra dan bersuka ria pada hari perayaan itu mempunyai risiko dan berpotensi mencetuskan penularan lanjut.

“Meraikan (Tahun Baru Cina) dengan semangat yang betul tetapi jagalah keselamatan kita supaya mungkin setahun dari sekarang, apabila tiba Tahun Harimau kelak, kita akan dapat ‘mengaum’ seperti harimau,” kata Lee.

(Foto FB PM Lee)

Related posts

Leave a Comment