Solat Jumaat 45 jemaah di P.Pinang

PULAU Pinang membenarkan semua masjid dan surau di negeri itu melakukan solat fardu dengan maksimum 15 jemaah manakala solat Jumaat pula boleh disertai 12 hingga 45 jemaah berusia 15 hingga 70 tahun, termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan siak.

Bagaimanapun kebenaran yang berkuat kuasa mulai 27 Januari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu tidak meliputi  aktiviti sosial, tazkirah, kuliah atau pengimarahan secara bersemuka.

Menurut pekeliling Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Mohd Zakuan Zakaria hari ini, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Bagi solat jenazah bukan Covid-19 di masjid dan surau pula juga dihadkan kepada 20 orang, namun ziarah kubur selepas pengebumian selesai masih tidak dibenarkan.

“Ruang solat musafir juga disediakan di masjid dan surau bagi kemudahan pekerja e-hailing, khidmat penghantaran dan seumpamanya,” kata pekeliling itu.

Ahmad Zakiyuddin berkata, urusan akad nikah dibenarkan berlangsung di Pejabat Agama Daerah masing-masing dan terhad kepada 10 individu sahaja.

Kebenaran bagi aktiviti bacaan Yassin dan tahlil juga dihadkan kepada 15 orang terdiri daripada pegawai masjid, siak dan ahli jawatankuasa kariah selepas solat fardu.

Related posts

Leave a Comment