Hanya 8 tetamu sehari

MENJELANG sambutan Tahun Baharu Cina, Singapura mengambil langkah memperketatkan pengurusan selamat dengan pemeriksaan penguatkuasaan dipertingkatkan di tempat makanan dan minuman (F&B), pusat beli-belah dan tempat awam yang sesak.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), mulai 26 Januari ini, setiap  keluarga hanya akan dibenarkan menerima sehingga lapan tetamu sahaja setiap hari.

Penduduk juga seboleh mungkin harus mengehadkan kunjungan ke dua rumah sahaja dalam sehari dan sehingga lapan orang dibenarkan dalam satu kumpulan bagi perhimpunan sosial di luar.

MoH menekankan pentingnya mematuhi langkah-langkah baharu bagi membendung penularan koronavirus semasa musim perayaan, terutama sekali setelah risiko berlaku penularan dalam masyarakat akan meningkat.

Ia juga menggesa warga Singapura yang makan di luar supaya terus pakai pelitup muka apabila tidak makan atau minum.

Ini bermakna , orang ramai mesti memakai pelitup ketika melambung hidangan ‘yusheng’ – iaitu hidangan salada ikan mentah yang digaul oleh para tetamu yang diiringi dengan ucapan tahun baharu .

Amalan itu yang dikenali sebagai “lo hei” juga harus dilakukan tanpa laungan sebarang kata-kata yang biasa dilakukan semasa Tahun Baharu Cina.

Menurut MoH, hampir sebulan selepas Singapura memasuki Fasa 3 pembukaan semula ekonomi secara bertahap-tahap, jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat meningkat sepanjang minggu lalu.

“Ini merupakan satu kebimbangan kerana ia mungkin menandakan adanya penularan dalam masyarakat yang lebih meluas tetapi belum dikesan,” kata MoH.

Justeru, antara langkah pengurusan selamat yang diumumkan hari ini adalah penangguhan Pertandingan Sukan Sekolah-Sekolah Kebangsaan (NSG),yang dijadul bermula pada Februari.

Kementerian Pendidikan (MoE) juga akan menjalankan semakan berhubung jenis sukan yang akan disambung semula dan formatnya supaya dapat memastikan pertandingan sukan dapat disambung semula dengan selamat bagi pelajar.

Sebelum ini Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) mengumumkan dalam satu kenyataan media bersama pada Selasa bahawa program perintis pembukaan semula kelab malam dan pusat karaoke yang dijadual bermula pada bulan ini ditangguh sehingga notis selanjutnya.

Related posts

Leave a Comment