Darurat terdesak, melulu

KERAJAAN semakin hilang wibawa dan keyakinan semakin payah untuk dipulihkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin., kata Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah mengisytiharkan darurat tampak terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas yang kukuh, langsung melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.

“Muhyiddin minta kita percaya dia tatkala kediktatoran beliau semakin menonjol. Keyakinan terhadap kepimpinan beliau semakin merosot tatkala seorang demi seorang Ahli Parlimen menarik sokongan. Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini?

“Pengisytiharan darurat semacam tidak ada kaitan dengan usaha dan upaya kita untuk melawan dampak wabak, tetapi sebaliknya hanya sebagai wahana untuk terus berpaut pada kuasa dan kedudukan?,” katanya melalui Facebooknya.

Anwar berkata, sekatan baharu yang diumumkan adalah sangat mengelirukan, dan masing-masing akan menderita dengan cara yang tersendiri.

Katanya, ada yang dirundung ketidaktentuan akibat dampak pandemik, namun tidak diberi perhatian secukupnya oleh kerajaan.

“Situasi pengangguran, masalah kemiskinan dan kelangsungan hidup cukup memprihatinkan, dan ini adalah antara beban yang akan terus menghantui setiap rakyat. Ada yang terpaksa bertarung dengan persoalan jiwa dan mental,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman demi pengumuman yang dibuat seolah tidak ada perancangan awal yang sering tidak jelas, langsung menginjak perasaan rakyat sebaliknya dampak dari semua ini adalah panik dan ketidaktentuan.

“Muhyiddin telah meletakkan negara ini dalam lembah percanggahan. PKP menjadi acara tahunan yang sia-sia tanpa makna dan hasil,” katanya.

Apa yang kelihatan seolah bersyarat, namun nampaknya semacam akan kekal. Cakap-cakap tentang pemulihan ternyata omong kosong.

“Jadinya, kita sekarang ini kembali ke peringkat asal. Mula balik. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah diungkap Albert Einstein, “adalah sesuatu yang gila untuk mengulangi perkara yang sama sambil mengharapkan hasil yang berbeda”,” katanya

Dakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, kepimpinan Perdana Menteri turut meletakkan negara ini di lembah kegilaan.

Jelas Anwar, kerajaan sepatutnya membantu rakyat untuk kembali percaya kepada kemampuan masing-masing selain mencipta kekuatan baharu dalam mengharungi kemelut ini sebagai bangsa yang bersatu padu.

“Malaysia patutnya telah berjaya, apa yang disebut sebagai “flattening the curve” atau melandaikan lekuk dan menjadi antara negara yang berjaya menundukkan Covid-19.

“Sebaliknya, kerajaan ini terus menyusah dan membodohkan rakyat. Kerajaan hari ini anggap rakyat seperti kanak-kanak. Tidak, rakyat di negara inilah yang memungkinkan sebuah tatanan bernama Malaysia.

“Sekiranya kerajaan ini tidak mampu percaya pada rakyat dan yakin pada rakyat, bagaimana mungkin mereka harapkan perkara yang sama? Apatah lagi untuk patuh prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa berubah setiap masa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment