Tiada PRU dalam tempoh darurat

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, kata Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata beliau tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya, namun perkara utama yang menghalang beliau daripada menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk PRU adalah  Covid-19. 

“Keputusan ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Dalam konteks ini adalah menjadi kewajiban saya sebagai ketua kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara daripada jangkitan Covid-19.

“Ini adalah kemaslahan paling utama yang dituntut agama Islam,” katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini. 

Bagaimanapun, Muhyiddin memberi komitmen tegas bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan bahawa wabak Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya selamat untuk diadakan. 

Muhyiddin juga menjelaskan dalam tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa di peringkat persekutuan dan negeri.

Katanya, Jemaah Menteri dalam nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat bahawa darurat seluruh negara perlu diisytiharkan memandangkan kes jangkitan semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat. 

“Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh. 

Jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment