Malaysia catat kes harian tertinggi

PUTRAJAYA 12 Jan. – Semakin tinggi. Kes harian tertinggi dicatatkan hari ini apabila Malaysia mencatatkan 3,309 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 141,533 dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 30,390 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, enam daripadanya merupakan kes import manakala selebihnya, 3,303 kes melibatkan penularan tempatan. 

Angka tertinggi kes harian Covid-19 sebelum ini adalah 3,027 kes yang dicatatkan pada 7 Jan 2021.

Bagi kes penularan tempatan, sebanyak 2,461 kes melibatkan warga tempatan dan 842 kes bukan warganegara.

Sebanyak 439 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan iaitu 192 kes, Kluster Tembok Choh (162 kes), Kluster Tembok Mempaga (70 kes), Kluster Tembok Gajah (tujuh kes), Kluster Pagar Siput (tiga kes), Kluster Telok Mas (tiga kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes).

Dr Noor Hisham berkata tiga daripada empat kes kematian dilaporkan hari ini adalah di Selangor dan satu lagi di Perak, dengan kesemua mangsa berumur antara 52 hingga 69 tahun menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu meningkat kepada 559 kes. 

Sehingga kini, terdapat 190 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 83 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, katanya. 

Malaysia turut merekodkan 1,469 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya sebanyak 110,584 kes (78.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Related posts

Leave a Comment