Biden terima suntikan vaksin dos kedua

BAKAL Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Isnin 11 Januari menerima dos kedua suntikan vaksin, tiga minggu selepas menerima dos pertama.

Suntikan itu dirakam dan disiarkan oleh stesen televisyen dalam usaha meyakinkan rakyat Amerika Syarikat bahawa suntikan vaksin adalah selamat.

Biden menanggalkan jaket sukan yang dipakainya lalu berkata, “Ready, set, go” sebelum beliau disuntik dengan vaksin Pfizer oleh Ketua Jururawat Eksekutif Ric Cumin di Hospital Christiana di Newark, Delaware, yang terletak berhampiran dengan kediaman Biden.

Prosedur itu turut disiarkan oleh saluran berita kabel beberapa saat selepas ia dijalankan.

Biden menerima dos pertama pada 21 Disember 2020 dalam proses penyuntikan yang disiarkan di televisyen.

Dalam komen ringkas kepada para wartawan selepas disuntik vaksin,  Biden berkata beliau menaruh keyakinan terhadap pasukannya dalam usaha memerangi Covid-19 dan yakin mereka akan dapat menepati sasaran kadar penyuntikan vaksin selepas beliau mengambil alih tampuk kepemimpinan negara itu pada 20 Januari .

“Biar saya jelaskan di sini. Pertama, prioriti saya adalah untuk memastikan suntikan diberikan secepat yang mungkin.

“Saya akan mengadakan mesyuarat, panggilan Zoom bersama pasukan saya tengah hari ini. Kita akan bekerjasama dan meneruskan usaha untuk memastikan semuanya berjalan lancar dalam pengedaran vaksin ini,” katanya.

Beliau juga menyifatkan angka korban yang dilaporkan tiga hingga empat ribu  setiap hari akibat jangkitan virus tersebut sebagai “tidak boleh diterima sama sekali”.

Related posts

Leave a Comment