Thailand catat 212 kes baharu

BANGKOK 9 Jan. – Sebanyak 212 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Thailand menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 10,053 kes,sementara kematian kekal 67.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi bagi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 193 adalah penularan tempatan dan 19 kes import

Daripada 19 kes import itu, 14 yang dikuarantin selepas tiba dari luar negara iaitu empat dari Jerman, masing-masing tiga dari Turki dan Emiriyah Arab Bersatu, masing-masing satu dari Uganda dan United Kingdom dan dua dari Amerika Syarikat.

Lima lagi adalah yang tiba dari  Myanmar yang melibatkan empat wanita Thai dan seorang warganegara Myanmar.

Sejak pertengahan Disember, wabak itu telah merebak ke 58 wilayah di negara sementara 20 wilayah di negara ini tidak melaporkan kes baharu selama tujuh hari.

“Jika kita meneruskan usaha mengehadkan penularan wabak, kita akan melihat penurunan jumlah kes baharu harian menjelang hujung bulan ini.

“Pada waktu ini, kita boleh katakan bahawa kita telah melakukan langkah-langkah yang baik untuk mengawal wabak ini,” katanya.

Thailand, negara pertama di luar China yang mengesan kes COVID-19 pada Januari tahun lepas dan berjaya memastikan penularan jangkitan pada kadar rendah sehingga pertengahan Disember.

Wabak terkini di pasar makanan laut di Samut Sakhon menyaksikan jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 5,604 kes dalam tempoh kira-kira tiga minggu.

Setakat ini, daripada 10,053 kes tempatan, sebanyak 5,546 (55.2%) telah pulih termasuk 291 pesakit yang dibenarkan keluar hospital hari ini manakala 4,440 masih dirawat di hospital.

Related posts

Leave a Comment