Imbasan: Persoalan dilontar 2015 kini terjawab

MAMPUKAH PERKHIDMATAN FERI PULAU PINANG DISELAMATKAN?

KESEMPATAN menyertai rakyat­ Malaysia meneruskan tradisi balik kampung, saya berpe­luang menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang. Naik di Terminal Feri Raja Tun Uda (bahagian pulau) dan turun di Terminal Feri Sultan Abdul Halim (tanah besar). Mungkin disebabkan cuti hari raya kedua, jumlah penumpang agak ramai. Sesak lebih-lebih lagi tempoh menunggu pula lebih 20 minit. Tidak pasti kekerapan perkhidmatan feri ini. Kehadiran pendatang asing yang ‘keluar’ beramai-ramai sempena hari cuti menyebabkan berlaku kesesa­kan dan tolak-menolak. Penumpang tempatan yang terdiri daripada wani­ta dan warga emas kesal dengan keadaan itu. Lebih mendukacitakan keadaan itu berlaku disebabkan pe­numpang bimbang terlepas feri dan terpaksa menunggu lagi. Nasib tak baik mungkin 20 hingga 30 minit berikutnya.

Apabila terminal dikatakan mam­pu menampung 300 orang pe­numpang, bagaimana ukuran itu dilakukan? Adakah sekadar angga­ran? Sepatutnya pihak keselamat­an (polis Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) atau polis pelabuhan) yang ditugaskan dapat memantau kehadiran penumpang di pintu masuk ruang menunggu terminal. Jika jumlah melebihi ke­mampuan muatan feri, bukalah satu lagi kawasan menunggu di ba­ hagian terminal yang berpagar un­ tuk penumpang menunggu giliran berikutnya. Itulah fungsinya bagi mengelakkan jumlah penumpang melebihi had yang ditetapkan.

Malangnya pihak yang menga­wal pintu masuk ke feri menutup pintu pagar secara ‘paksa’ apabila menganggarkan jumlah penum­pang terlalu ramai. Tindakan itu menyebabkan berlaku tolak-meno­lak untuk merempuh pintu yang cuba ditutup bagi menghalang pe­numpang masuk.

Pihak berkuasa yang mengu­ ruskan perkhidmatan feri ini perlu melihat keadaan ini sebelum perka­ra yang buruk berlaku. Mungkin selama ini kesesakan hanya ber­laku sewaktu orang ramai pulang kerja pada hari-hari bekerja tetapi terkawal tanpa tolak-menolak yang menimbulkan kemarahan penga­wal pintu masuk feri. Dalam kes yang dialami saya, ada penumpang­ yang diarah masuk ke kawasan menunggu kerana didapati meno­lak penumpang lain.

Seperkara lagi berapakah muat­an sebenar feri? Jika dulu ada feri penumpang dan feri kenderaan tetapi kini feri penumpang/kende­raan. Dulu di dek atas hanya khusus untuk penumpang dan di bawah khas untuk kenderaan tetapi kini ruang tengah di dek atas khusus untuk penumpang sementara di kiri kanan untuk kenderaan. Dalam waktu tertentu jika penumpang pejalan kaki ramai, mereka ter­paksa berdiri.

Jumlah feri pula khabarnya su­dah berkurangan. Difahamkan ada lapan buah yang beroperasi iaitu Pu­lau Pinang, Pulau Payar, Pulau Ang­sa, Pulau Kapas, Pulau Undan, Pulau Rawa, Pulau Talang-Talang dan Pu­lau Rimau. Waktu operasinya juga sudah lama berubah. Pernah sebe­lum ini perkhidmatan 24 jam tetapi kini bermula 5.30 pagi hingga 12.30 malam (pulau) dan 6 pagi hingga 1 pagi (tanah besar). Kekerapan pula bergantung pada waktu tertentu. Perubahan ini disebabkan perkhid­matan feri mengalami kerugian.

Tidak pasti selama mana per­khidmatan­ feri ini mampu bertahan. Adakah perkhidmatan feri tertua di Pulau Pinang ini akan berakhir? Mungkinkah bakal menjadi perkh­idmatan untuk pelancong sahaja? Lebih-lebih lagi ketika ini pejalan kaki yang menggunakan perkhid­matan feri perlu berjalan jauh, naik turun tangga di tanah besar iaitu kawasan terminal bas Penang Sen­tral yang sedang dalam pembinaan. Memang meletihkan terutama bagi warga emas, wanita mengandung dan mereka yang membawa bersa­ma anak-anak kecil.

Difahamkan keadaan ini akan berlarutan sehingga tiga tahun berikutan kerja-kerja pembinaan Penang Sentral. Mujurlah ada khid­mat van perantara bagi membantu penumpang yang tidak berupaya berjalan dalam jarak jauh.

Berkaitan kerugian, mungkin pihak berkenaan perlu mencari jalan keluar mengatasi masalah ini. Kead­aan lebih terasa apabila sudah ada dua jambatan yang menghubungkan tanah besar dengan pulau. Keti­ka ini hanya kenderaan yang masuk ke pulau sahaja dikenakan bayaran sama ada menggunakan jambatan atau feri. Maknanya pengguna yang keluar masuk boleh buat pilihan ba­yar tol jambatan kemudian keluar menggunakan feri secara percuma dan begitu juga sebaliknya.

Mungkin satu kaedah baharu boleh diperkenalkan supaya pihak jambatan dan feri tidak mengalami kerugian. Pengecualian boleh di­beri kepada penumpang pejalan kaki atau pun sebarang kenaikan boleh dicadangkan melibatkan per­ jalanan dua hala. Bukannya ini ber­ makna menyokong kenaikan tam­ bang feri secara mendadak tetapi mencari satu formula ‘menang-me­ nang’. Jika tidak pihak kerajaan per­lu memberi sedikit subsidi untuk menyokong pengangkutan awam supaya terus memberi perkhidmat­ annya kepada pengguna.

Tidak ada maknanya jika kera­ jaan sama ada pusat atau negeri menggesa rakyat menggunakan pengangkutan­ awam tetapi tahap perkhidmatannya amat mengece­ wakan. Perlukah kita melabur leb­ih besar untuk memperkenalkan perkhidmatan baharu? Mungkin kos itu boleh digunakan untuk me­ naik taraf perkhidmatan sedia ada. Ketika ini tambang yang dikenakan hanya sehala iaitu untuk pejalan kaki RM1.20 (dewasa) dan kanak-kanak RM0.60 . Bagi kenderaan pula mengikut jenis sama ada basikal, motosikal, kereta/van dan lori. Ka­dar bagi sebuah kereta ialah RM7.70.

Terdapat cadangan kadar tam­bang pejalan kaki dinaikkan kepada RM2 dan kereta kepada RM9. Ban­yak pihak yang membantah kenaik­ an yang dianggap mendadak itu. Apakah pilihan lain yang ada untuk menampung kerugian perkhidmat­an feri itu? Penyusunan semula perlu dilakukan. Penggunaan feri juga perlu dipelbagaikan. Seingat penulis, pernah satu ketika bagi menambah hasil feri, satu pakej disediakan untuk pihak-pihak luar mengadakan makan malam di atas feri sambil belayar di kawasan perairan berkenaan. Hakikatnya perkhidmatan feri masih diperlu­kan. Bukan sahaja keperluan peng­guna tempatan tetapi juga tarikan industri pelancongan.

Sabtu lalu ketika saya meng­gunakan perkhidmatan feri itu, kelihatan para pekerja memasang papan iklan yang mungkin satu promosi bagi menunjukkan keper­luan perkhidmatan feri. Mengikut catatan, ada yang menggunakan 60 kali perkhidmatan itu setiap bulan yang mungkin melibatkan golong­an pekerja. Tinjauan melibatkan seorang warga emas pula menun­jukkan beliau hanya menggunakan empat kali perkhidmatan feri se­bulan. Tidak pasti apakah tujuan ‘iklan’ itu tetapi sekali pandang jelas menunjukkan majoriti peng­guna yang ditinjau kerap menggunakan perkhidmatan itu.

Diharapkan apabila siap Penang Sentral nanti, perkhidmatan pen­gangkutan awam termasuk feri lebih cekap. Penang Sentral turut meng­ gabungkan kemudahan perkhidma­ tan kereta api, teksi, bas henti-henti, bas ekspres, teksi dan tempat letak kereta. Walaupun feri mengalami saat-saat sukar, perkhidmatan­ itu perlu diselamatkan!

Related posts

Leave a Comment