Pantau pelawat Korea Selatan

SINGAPURA 24 Dis. – Semua pelawat yang memasuki Singapura mulai 26 Disember yang pernah melakukan perjalanan ke Korea Selatan dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh tersebut perlu menjalani notis jangan keluar rumah di kemudahan khusus.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan menjelaskan langkah itu diambil berikutan lonjakan kes di Korea Selatan.

Langkah-langkah baru itu terpakai ke atas para pelawat yang berpangkalan di Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik Singapura-Korea Selatan (RGL). Ia juga termasuk pelawat yang melakukan transit melalui Korea Selatan.

MOH menambah bahawa pelawat dari Hong Kong, Fiji, Sri Lanka dan Thailand masih dibenarkan untuk memilih keluar dari kemudahan khusus dan menjalani notis tersebut di tempat kediaman mereka.

Bagaimanapun mereka perlu memastikan bahawa mereka tidak melakukan perjalanan ke negara atau daerah lain kecuali tempat-tempat termasuk Australia, Brunei, Macau, tanah besar China, New Zealand, Taiwan dan Vietnam, dalam tempoh 14 hari berturut-turut sebelum kemasukan ke negara ini.

Mereka juga perlu tinggal di tempat kediaman bersendirian, atau hanya dengan anggota isi rumah yang juga menjalani notis jangan keluar rumah dengan sejarah perjalanan yang sama dan tempoh notis yang sama.

MOH juga menasihatkan pelawat mengunjungi laman SafeTravel  untuk menyemak langkah-langkah sempadan terbaru sebelum memasuki Singapura dan bersedia untuk langkah-langkah sempadan sedia ada semasa ketibaan, termasuk pembayaran untuk penginapan mereka di kemudahan khusus, ujian dan rawatan.

Para pelawat juga dinasihatkan mengisytiharkan sejarah perjalanan mereka dengan tepat dan bahawa tindakan penguatkuasaan yang ketat akan diambil terhadap perakuan palsu.

Related posts

Leave a Comment