Pub: PBT diarah bertindak

AYER KEROH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengusaha pub dan kelab malam yang berdegil menjalankan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan,  Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pusat hiburan itu direkodkan hampir setiap hari.

“Ambil tindakan yang keras… batalkan lesen dan sebagainya… senarai hitam mereka ini supaya walaupun PKPP sudah tamat, jangan benarkan mereka beroperasi.

“Kuasa ini adalah kuasa di negeri… kuasa sebenar terletak kepada (PBT) daerah-daerah.

“Saya harap majlis daerah, majlis perbandaran, majlis bandaraya… patuhlah saranan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan… ini SOP yang telahpun ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) kali ke-27 di Ayer Keroh hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah memutuskan supaya tindakan lebih keras diambil termasuk membatalkan serta menyenaraihitamkan lesen perniagaan pusat hiburan yang terus berdegil.

Ujarnya, beliau sudah berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memantau dan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengarahkan PBT bertindak lebih tegas berbanding sebelum ini.

Sementara itu dalam satu kenyataan, beliau memberitahu, seramai 248 individu dikompaun dan seorang direman atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 24 jam yang lalu..

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 132 individu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, 63 ditahan kerana tidak memakai pelitup muka dan 54 lagi gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan.

Ismail Sabri berkata, Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM, telah.melakukan 47,811 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

Katanya, sebanyak 2,777 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,489 anggota membuat pemantauan di 3,549 pasar raya, 4,761 restoran serta 1,794 penjaja, 1,144 kilang, 3,321 bank dan 548 pejabat kerajaan.

“Pemantauan juga dilakukan di 962 terminal pengangkutan darat, 245 terminal pengangkutan air serta 111 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah, Operasi Benteng (Op Benteng) berjaya menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong serta merampas lapan kenderaan darat.

Related posts

Leave a Comment