KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Tun Razak menyifatkan keputusan kerajaan untuk melangsungkan Istiadat Pengebumian Negara terhadap Allahyarham ibundanya, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah yang meninggal dunia pada Jumaat adalah satu penghormatan teristimewa.
Jelasnya, istiadat itu akan menjadi kenangan kepada seluruh keluarga Allahyarham ayahandanya, perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.
Saya atas nama diri saya dan keluarga merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas keputusan anugerah Pengebumian Negara di atas bonda saya Tun Hajah Rahah, ini sudah tentu penghormatan yang teristimewa.
“Saya percaya akan menjadi kenangan manis kepada keluarga Tun Razak,” katanya selepas Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, di sini pada Sabtu.
Tambah Najib, Allahyarham bondanya itu menjadi tempat tumpuan adik-beradiknya sejak kehilangan ayahandanya pada tahun 1976.
“Bonda saya adalah seorang yang cukup penyayang, dan baik hati telah mendidik kami semua dengan begitu sempurna sekali sehingga kelima-lima adik-beradik mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
“Di samping itu terus menjadi tonggak kepada keluarga walaupun (Allahyarham) Tun Razak tiada lagi, bonda saya memang jadi tempat tumpuan kami,” katanya lagi.
Meskipun pemergian Allahyarham ibunya itu memberi kesan kepada dirinya dan keluarga, jelas Najib, mereka redha dengan ketentuan Ilahi.
“Dari kita amat sukar kehilangan seorang ibu sudah tentu berasa amat sedih, kami redha dengan ketentuan Ilahi maknanya bonda saya telah melalui kehidupan selama 87 tahun, telah mencapai kemuncak dalam hidupnya.
“Juga telah menyaksikan anak-anaknya membesar dan sedikit sebanyak menyaksikan kepuasan atas apa yang kami telah lakukan,” ujar Najib.