Vaksin percuma, Jokowi penerima pertama

 

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo menjadi orang pertama di negara itu menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi membuktikan kepada rakyat mengenai keselamatan vaksin berkenaan yang akan diberikan secara percuma.

“Saya secara peribadi akan menjadi penerima pertama (vaksin ini) bagi meyakinkan penduduk bahawa vaksin yang digunakan adalah selamat, “ katanya daam satu rakaman video yang dimuat naik ke siaran YouTube Istana Negara hari ini.

Beliau berkata rakyat akan mendapat vaksin itu “tanpa sebarang bayaran dikenakan” dan mengarahkan menteri kewangan dan Kabinet mengambil langkah merealisasikan program vaksinasi itu pada tahun depan.

Katanya, tiada alasan lagi rakyat tidak menerima vaksin berkenaan.

Indonesia telah menerima 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari syarikat China, Sinovac Biotech pada 6 Dis dan dijadual menerima bahan-bahan mentah untuk menghasilkan 15 juta dos vaksin dari syarikat yang sama pada lewat bulan ini.

Vaksin CoronaVac itu, bagaimanapun, masih berada dalam percubaan peringkat akhir di Indonesia serta di Brazil, Chile dan Turki.

Badan Pemantau Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) Indonesia, akan hanya memberikan cap kelulusannya pada mutu, keselamatan dan keberkesanan vaksin itu apabila hasil ujian percubaan klinikal dikeluarkan.

Dalam satu tinjauan pemerintah yang dijalankan pada September lalu, sekitar 65 peratus responden berkata mereka sedia mendapatkan suntikan vaksin. Namun, hanya 35 peratus daripada responden itu berkata mereka sanggup membuat bayaran untuk mendapatkan suntikan.

Pemerintah Indonesia sebelum ini merancang untuk menawarkan vaksin secara percuma kepada sekitar 32 juta kakitangan kesihatan, tentera dan polis serta penjawat awam, sementara penduduk yang lain perlu bayar untuk mendapatkan vaksin.

Keputusan itu mengundang kritikan, dengan sebilangan penduduk menarik perhatian kepada negara-negara lain yang memberikan vaksin secara percuma.

“Selepas menerima maklum balas daripada penduduk dan selepas melakukan perkiraan semula mengenai tabung negara, saya dapat umumkan bahawa vaksin Covid-19 akan diberikan kepada warga negara ini secara percuma. Tiada bayaran dan yuran akan dikenakan,” kata Presiden Jokowi.

“Justeru, saya mengarahkan semua anggota Kabinet, kementerian, agensi dan pemerintah daerah untuk mengutamakan vaksinasi dalam belanjawan 2021 mereka. Saya juga mengarahkan menteri kewangan untuk mengutamakan dan peruntukkan semula perbelanjaan lain bagi memastikan vaksin percuma ini sedia ditawarkan supaya tidak ada alasan bagi penduduk tidak menerima suntikan vaksin.”

Related posts

Leave a Comment