Berita palsu berniat jahat

APAKAH motif disebalik penularan berita kononnya pelantikan lima lagi Exco Perak pada Selasa 15 Disember tidak melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas? Pastinya ia cuba menimbulkan suasana tidak harmoni yang melibatkan istana, rakyat dan parti-parti politik.

Lebih mendukacitakan Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini sebagai jurucakap istana dilibatkan secara langsung dalam hal ini.

Justeru, kena pada masanya, Mohd Annuar membuat laporan polis terhadap pengguna Facebook yang belum diketahui identitinya itu susulan penularan berita palsu berhubung isu pelantikan lima lagi Exco negeri itu.

Mohd Annuar berkata kenyataan itu disifatkan berniat jahat kerana menjatuhkan kredibilitinya sebagai Ahli Dewan Negara Perak, sekali gus boleh menjejaskan nama baik pihak Istana Perak.

Ujarnya, kenyataan yang tular di laman sosial mendakwa dia berkata pelantikan lima lagi Exco Perak pada Selasa tidak melibatkan ADUN Pas tidak benar sama sekali.

“Pada saya, itu tidak baiklah sedangkan realitinya pada petang ini (15 Disember) dua orang ADUN dari Pas telah diperkenan oleh Sultan untuk dilantik mengangkat sumpah sebagai Exco.

“Setiap pihak harus bertanggungjawab. Sudah cukuplah kita menimbulkan polemik, fitnah… jadi etika menyiarkan berita ini biarlah berdasarkan yang berfakta dan yang benar,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat, di sini pada Selasa, 15 Disember.

Sementara itu, lima ADUN mengangkat sumpah jawatan, melengkapkan senarai 10 Exco Perak.

Lima ADUN berkenaan juga merupakan Exco di bawah pentadbiran sebelum ini iaitu Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau), Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu-Tualang Sekah), Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (Pas-Selama) dan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering).

Kesemua ADUN itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam satu istiadat ringkas yang diadakan di Istana Kinta di sini, pada 5 petang 15 Disember lalu. 

Pada 10 Disember lalu, lima ADUN mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan empat daripadanya adalah Exco sebelum ini iaitu Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota). Seorang lagi, Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) yang turut dilantik merupakan muka baharu.

Saarani turut mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Nazrin pada hari sama.

Barisan Exco Perak terbubar selepas Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Disember lalu setelah beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Dis, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali.

DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi terdiri daripada 25 wakil BN yang semuanya UMNO, DAP (16), Amanah (lima), Bersatu (lima), PKR (tiga), PAS (tiga), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Related posts

Leave a Comment