Ungku Aziz meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Tokoh pendidikan dan ekonomi tersohor negara Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia pada Selasa (15 Dis) ibarat satu dalam sejuta, satu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Allahyarham, yang lebih mesra dipanggil Pak Ungku, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 4.00 petang pada usia 98 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara kerana sakit tua.

Berita kematian Prof Ungku Aziz menyentuh perasaan banyak pihak, terutamanya Universiti Malaya, yang begitu sinonim dengan Allahyarham. Menerusi laman sosial Facebook rasmi, universiti itu menyifatkan pemergian Prof Ungku Aziz, naib canselor yang paling lama berkhidmat selama 20 tahun, suatu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Banyak pihak menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara, melihat kepada sumbangannya dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan gerakan koperasi negara.

Jasa dan sumbangan Ungku Aziz kepada umat Islam dan ekonomi orang Melayu tiada tolok bandingnya kerana Allahyarham merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap penubuhan Lembaga Tabung Haji (dulu dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji) pada November 1962.

Prof Ungku Aziz yang dilahirkan pada 28 Jan 1922 di Hampstead, London mendapat pendidikan awal di Bukit Zaharah English School dan Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru. Pada tahun 1940 beliau berkhidmat sebagai pegawai dalam percubaan di bawah skim Pegawai Melayu Kerajaan Johor dan dihantar dengan biasiswa ke Raffles College, Singapura setahun selepas itu.

Menempa sejarah sebagai satu-satunya tokoh akademik yang bergelar Profesor Diraja Ekonomi, pelibatan beliau dalam dunia akademik bermula pada 1948 apabila dipinjamkan ke Raffles College berstatus penolong pensyarah.

Pada 1951, Ungku Aziz mendapat ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya di Singapura dan setahun kemudian menjadi pensyarah Universiti Malaya di Singapura.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1956 sehingga 1957. 

Allahyarham dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada April 1965 dan pada Disember tahun sama beliau menjadi Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

Pada 1966, allahyarham memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi dari Waseda University, Tokyo, Japan. 

Pada 1 Okt 1968, Ungku Aziz menjadi naib canselor Universiti Malaya yang ketiga dan rakyat Malaysia pertama menyandang jawatan itu sehinggalah bersara pada 1988.  

Komitmen Prof Ungku Aziz dalam memperkasakan ekonomi masyarakat begitu signifikan. Selain penubuhan TH, Allahyarham merupakan penggerak koperasi negara dan merupakan presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) selama hampir 40 tahun iaitu dari 1971 hingga 2009.

Ungku Aziz dianugerahkan Profesor Diraja Ekonomi daripada kerajaan Persekutuan pada 1978, dan beliau juga menerima anugerah kehormat dari lebih 10 universiti dalam dan luar negara termasuk University of Pittsburgh, University of Warwick dan Chulalongkorn University, Bangkok.

Pada 1997, Ungku Aziz merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1418 Hijrah.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama tokoh budaya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, lebih dikenali sebagai Azah Aziz yang meninggal dunia pada 2012. Seorang lagi isteri beliau ialah Rahaiah Baheran. 

Kepakaran Ungku Aziz dalam bidang ekonomi turut diwarisi anak tunggal beliau Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Berhad dan wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia. 

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi posting di akaun laman sosial Facebooknya tiga hari lepas dalam segmen Kenali Tokoh menyebut Ungku Aziz merupakan ahli ekonomi Melayu pertama, selain digelarkan The Renaissance Man kerana kepakaran beliau membuka pintu perkembangan khususnya dalam pembaikan dan pelaksanaan ekonomi negara.

Ramai pemimpin negara dalam ucapan takziah masing-masing menyifatkan kehilangan Ungku Aziz sukar dicari ganti. Semoga pencapaian Allahyarham akan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi akan datang. 

 

Related posts

Leave a Comment