JOE BIDEN secara rasmi adalah Presiden Amerika Syarikat yang baharu apabila kemenangannya disahkan pada Isnin oleh Undi Elektoral (Electoral College) dengan 302 undian memihak kepada beliau, ketika Donald Trump masih enggan mengaku kalah.
Susulan itu, Biden dalam ucapannya menggambarkan kejayaan itu sebagai satu kemenangan terhadap demokrasi buat Amerika.
“Sekali lagi di Amerika, kedaulatan undang-undang, perlembagaan dan mandat rakyat telah menang.
“Demokrasi kita – ditekan, diuji, diancam – dibuktikan bertahan, benar dan kukuh,” tegas Biden dalam ucapannya di Wilmington, Delaware.
Walaupun undian pada Isnin lazimnya hanya menjadi formaliti, keputusan itu memberi tamparan hebat kepada usaha Trump yang berkali-kali menolak proses pemilihan pada 3 November lalu kerana didakwa terpalit dengan penipuan.
California, negeri dengan jumlah penduduk terbesar, memberi mandat kepada Biden dengan 55 undi elektoral.
Dalam sistem Kolej Elektoral yang dikuatkuasakan sejak 1780-an, seseorang calon memerlukan sekurang-kurangnya 270 undi untuk diisytiharkan menang dan sah sebagai Presiden.
Pada pilihan raya kali ini, Biden memperoleh 306 undi elektoral, manakala Trump meraih 232.
Biden turut memenangi undi popular dengan lebih 7 juta undi, manakala calon Demokrat pada 2016, Hillary Clinton meraih hampir 3 juta undi popular.
Keputusan oleh Kolej Elektoral itu akan dihantar ke Kongres untuk disahkan yang kemudian diikuti dengan upacara angkat sumpah jawatan pada 20 Januari depan.