Titah Tuanku terus patuh SOP

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua rakyat agar terus menjalani kehidupan norma baharu dengan penuh disiplin dan mematuhi dengan ketat segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa. 

“Beta mengharapkan risiko jangkitan wabak Covid-19 ini dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan penularannya di negara kita,” titah baginda.

Baginda juga turut menzahirkan penghargaan kepada doktor, jururawat, kakitangan hospital serta barisan hadapan yang telah melaksanakan tugas merawat pesakit dan mencegah penularan Covid-19 tanpa kenal penat dan lelah.

“Segala pengorbanan mereka amat beta hargai dan beta mendoakan supaya Allah sentiasa memelihara kesihatan para petugas barisan hadapan agar tugas dan usaha mereka dapat diteruskan.

“Oleh itu bagi menghargai jasa mereka yang telah berkorban ini, beta telah berkenan untuk menganugerahkan mereka bintang kebesaran dan pingat-pingat negeri Selangor,” titah baginda sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-75,hari ini..

Baginda juga mahukan kerajaan negeri mengenal pasti masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mereka yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

Sultan Sharafuddin, bertitah, baginda sentiasa mengambil berat dan memantau masalah rakyat khususnya dari segi masalah ekonomi.

“Beta sering mengingatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan baginda untuk menyelami masalah rakyat serta mencari jalan mengatasi masalah ekonomi (kehilangan pekerjaan dan pengurangan sumber pendapatan) yang sedang dihadapi oleh rakyat.

“Beta sebagai sultan di Selangor turut sama merasakan segala penderitaan rakyat dan sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat beta terpelihara,” titah baginda

Sultan Sharafuddin mengharapkan rakyat untuk terus bersabar, tenang dalam menghadapi segala dugaan dan sentiasa berdoa agar musibah yang menimpa pulih seperti sedia kala.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur dengan limpah kurnia Allah kerana dapat menyambut ulang tahun keputeraan baginda.

“Dalam keadaan negara sedang berdepan dengan Covid-19 ini, oleh itu beta telah mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sebarang istiadat semasa Hari Keputeraan Beta pada tahun ini.

“Namun Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor akan dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa Covid-19,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment