Warga Brunei boleh ke Sabah

KOTA KINABALU 9 Dis. – Sabah membenarkan kemasukan pelancong dari Brunei Darussalam ke negeri itu berkuat kuasa serta merta, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun.

Langkah itu susulan kejayaan negara itu membendung penularan wabak Covid-19 sejak tujuh bulan lalu..

Bagaimanapun, kesemua warga negara terbabit masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.

Pengembara dari negara tersebut juga akan tertakluk kepada syarat menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Antigen tiga hari sebelum perjalanan sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP PKPB Sabah.

Keputusan ini adalah memandangkan negara Brunei Darussalam tidak termasuk dalam senarai 23 buah negara yang disekat kemasukan ke Malaysia dan setelah melihat kepada kejayaan negara itu mengekalkan sifar kes COVID-19 sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, secara tidak langsung langkah ini juga dijangka dapat merancakkan sektor ekonomi negeri Sabah.

Masidi juga memaklumkan berlaku penurunan kes pada Rabu iaitu sebanyak 68 kes berbanding yang direkodkan pada selasa iaitu sebanyak 271 kes.

Jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 203 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31,260 kes.

Dua kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu di daerah Tuaran dan Sandakan manakala satu kluster baharu di daerah Penampang iaitu Kluster Kupi-Kupi yang mencatatkan satu kes menjadikan kumulatif 12 kes .

Kluster ini dikesan melalui saringan di sebuah kedai makan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment