WELLINGTON: Suruhanjaya Siasatan Diraja New Zealand mengenai pembunuhan 51 orang di sebuah masjid di Christchurch tahun lalu mendapati agensi-agensi keselamatan negara itu lebih tertumpu kepada ancaman pengganas pelampau Islam sedangkan hakikatnya ia dilakukan lelaki bersenjata kulit putih.
Laporan setebal 800 halaman itu yang dikeluarkan semalam 8 Disember juga mengkritik pihak berkuasa kerana memperlekehkan aduan masyarakat Islam New Zealand tentang jenayah kebencian terhadap Islam yang semakin berleluasa.
Menurut laporan yang dibentangkan di Parlimen itu lagi, agensi perisikan meletakkan fokus “tidak sesuai” terhadap ekstremisme Islam sebelum serangan itu dan tidak memeriksa ancaman keganasan berhaluan kanan secukupnya.
Bagaimanapun, ia tiba-tiba berhenti daripada mengatakan pihak berkuasa boleh mengelakkan pembunuhan itu, dan mendapati maklumat tidak lengkap mengenai pembunuh Brenton Tarrant sebelum serangan itu tidak cukup untuk menjadikannya ancaman.
Tiada cara munasabah untuk mengesannya, kecuali secara kebetulan, kata laporan itu berhubung serangan pada Mac 2019, di mana Tarrant menyasarkan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menunaikan solat Jumaat di bandar itu.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyambut baik kajian itu dan berikrar akan mengkaji semua 44 cadangan yang dikemukakan.
Antara usul berkenaan ialah undang-undang baharu termasuk menjadikan satu kesalahan jenayah bagi mereka yang merancang atau membuat persediaan melakukan serangan serta mengusulkan undang-undang lebih ketat berkaitan ucapan berbaur hasutan.
Katanya, satu lagi kritikan utama dalam laporan itu – penguatkuasaan tidak ketat undang-undang senjata api membolehkan Tarrant menghimpunkan senjata semi automatik ala tentera – sudah ditangani kerajaannya.
“Suruhanjaya itu tidak mendapati isu ini dapat menghalang serangan itu, tetapi kedua-duanya ialah kegagalan dan untuk itu saya memohon maaf.” kata Ardern.
Laporan itu berkata, penyerangnya Brenton Tarrant, mengekalkan profil rendah dan tidak mendedahkan rancangannya kepada sesiapa.
Ia merumuskan tidak ada tanda-tanda jelas bahawa serangan itu akan terjadi selain dari manifesto yang dihantar Tarrant kira-kira lapan minit sebelum serangan itu menyebabkan agak lewat untuk agensi pemerintah bertindak balas.
Suruhanjaya diraja itu pada asalnya dijadual mengemukakan laporannya pada Disember 2019, tetapi ditangguhkan akibat tindak balas yang banyak dan pandemik Covid-19.
Suruhanjaya yang diketuai Hakim Mahkamah Agung, William Young dan bekas diplomat, Jacqui Caine menemu bual lebih 400 orang dan menerima 1,000 penghujahan.