Tan Kok Wai mohon maaf

KUALA LUMPUR: Selepas membuat kenyataan mendakwa Annuar Musa menjual 42 plot tanah yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pengerusi DAP, Tan Kok Wai memohon maaf kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan fitnah itu diserahkan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras kepada Annuar pada Isnin.

“Saya menerima kunjungan mengejut Pengerusi Kebangsaan DAP, YB Tan Kok Wai (MP Cheras) di pejabat saya sebentar tadi.

“Beliau menyerahkan surat Pengakuan Memohon Maaf dan Menarik Balek Kenyataan Fitnah terhadap saya 18 hb November lepas. Terima kasih. Saya akan rujuk peguam saya,” kata Annuar dalam hantaran di akaun Twitternya hari ini.

Kok Wai sebelum ini dalam sidang media pada 18 November lalu menuduh Annuar menjual tanah yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Annuar juga telah dituntut oleh Kok Wai agar menjelaskan mengenai dakwaan tersebut.

Susulan itu, Annuar pula dalam reaksinya menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kok Wai.

Kata Annuar, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah telah menjatuhkan reputasi beliau serta DBKL.

Related posts

Leave a Comment