Legasi Trump bakal berakhir

WASHINGTON: Legasi Presiden Donald Trump bakal berakhir apabila Joe Biden yang menenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, mengumumkan dasar luar dan pasukan keselamatan nasional yang dibarisi veteran zaman Barack Obama.

Bekas pegawai kedua tertinggi Jabatan Negara, Antony Blinken, dilantik sebagai Setiausaha Negara.

Biden juga memilih Avril Haines, wanita pertama dilantik sebagai ketua agensi perisikan, Alejandro Mayorkas, Ketua Keselamatan Dalam Negeri berdarah Latin pertama dan Janet Yeelen sebagai Setiausaha Perbendaharaan wanita pertama.

Beliau turut memilih John Kerry sebagai wakil khas AS bagi menangani isu perubahan iklim selain melantik Linda Thomas-Greenfield sebagai Duta di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Jake Sullivan yang pernah menjadi penasihat Biden ketika di bawah Obama dinamakan sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan.

Walaupun Trump berusaha mengubah keputusan pilihan raya, pemilihan calon kabinet Biden adalah langkah terbesar beliau setakat ini, dan memberi petanda presiden tertua Amerika Syarikat (AS) itu bersedia mengubah haluan negaranya bermula 20 Januari nanti.

Senarai dikemukakan Biden menggambarkan kesungguhannya untuk mengembalikan peranan pemimpin berbilang kaum dalam pentadbiran AS, berbeza dengan rejim pemerintahan Trump.

“Mereka akan berusaha menyahut cabaran diberikan, cabaran yang tidak boleh ditangani secara bersendirian.

“Ini adalah masa untuk mengembalikan kepemimpinan Amerika,” kata Biden menerusi ciapan di Twitter.

Blinken, penasihat Biden sejak sekian lama akan menerajui perubahan dasar dilaksanakan Trump, termasuk menyertai semula Perjanjian Paris dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), serta mengembalikan semula perjanjian nuklear bersama Iran, yang dirintis Obama sebelum ini.

Sementara itu, pelantik Kerry, bekas Setiausaha Negara yang menandatangani Perjanjian Paris 2015 bagi pihak AS tetapi keputusan itu dibatalkan Trump menjadi petunjuk jelas komitmen pentadbiran baharu negara itu bagi menangani isu perubahan iklim.

“Saya kembali dalam kerajaan untuk membawa Amerika kembali ke landasan bagi menangani cabaran terbesar ketika ini dan akan datang.

“Krisis perubahan iklim menuntut sokongan dan kerjasama semua pihak,” katanya menerusi ciapan Twitter selepas pengumuman pelantikannya.

Kerry 76, adalah rakan dalam Senat, teman dan sekutu politik Biden yang sentiasa menyokongnya apabila pencalonannya dilanda krisis, memiliki pertimbangan dan hubungan baik sehingga menjadi diplomat penting ketika era bekas Presiden Barrack Obama.

Ketua arkitek dalam rundingan nuklear dengan Iran itu kini berdepan tanggungjawab membantu membina semula kredibiliti AS apabila kembali dalam Perjanjian Paris.

Penganalisis berpendapat, pemimpin ‘lama’ Parti Demokrat yang gagal dalam usahanya menjadi Presiden AS pada tahun 2004 ‘masih berbisa’ dalam hal ehwal hubungan antarabangsa.

Matlamat penting dalam Perjanjian Paris adalah membendung kenaikan suhu global pada tahap 1.5 darjah Celsius serta mengelak bencana kepada manusia akibat kesan perubahan iklim terutama penduduk di bahagian utara dan selatan dunia.

Related posts

Leave a Comment