Denda tidak pakai mask naik

NEW Delhi menaikkan kadar denda bagi mereka yang ingkar memakai pelitup muka di tempat awam kepada 2,000 rupee (RM110) berbanding 500 rupee (RM27) sebelum ini.

Ketua Menterinya Arvind Kejriwal berkata usaha itu bagi membendung penularan Covid-19 di dalam negara yang melihat peningkatan kes positif dan kes kematian beberapa hari lalu.

“Ada ketika kata-kata saja tidak jadi apa-apa, kita harus menjadi lebih keras,” katanya pada sidang media, di mana beliau juga menulis ciapan bahawa bandar raya berjumlah 20 juta penduduk itu berada di ‘landasan perang’.

Pada Khamis, India melaporkan sebanyak 45,576 kes positif Covid-19 baharu, lonjakan yang tinggi berbanding kes yang dilaporkan dalam tiga hari berturut-turut sebelum ini, iaitu kurang 39,000 kes.

Kes kumulatif positif Covid-19 di India kini mencecah 8.95 juta dengan 131,578 kematian setakat Khamis, menjadikan negara itu negara kedua paling teruk terjejas selepas Amerika Syarikat (AS).

Ketua Menteri itu merayu semua orang memakai pelitup muka apabila keluar rumah.

Katanya,  semua unit sosial, agama dan politik diminta untuk menyedarkan orang ramai bagi mengelakkan jangkitan ini.

“Semua pihak diminta untuk mengagihkan topeng kepada pekerja mereka di semua tempat awam. Semua parti memberi jaminan mereka akan meninggalkan politik dan berkhidmat untuk orang awam. Ini bukan masa untuk berpolitik,” katanya.

India sebelum ini melaksanakan salah satu perintah berkurung paling ketat di dunia pada bulan Mac, tetapi sekatan terbabit memberi tamparan hebat kepada ekonomi dan sejak itu kerajaan mengurangkan sekatan.

Related posts

Leave a Comment