Najib : Cadangan kerjasama dengan Anwar tanpa DAP

PENGERUSI Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Tun Razak mengakui beliau ada mencadangkan rundingan dengan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rundingan itu termasuk dengan semua parti politik kecuali DAP, dan laporan yang mendakwa beliau ‘mendesak’ BN untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri adalah kurang tepat.

Dalam catatan Facebooknya, beliau berkata, cadangan pertama beliau adalah diadakan Pilihan Raya Umum selepas Covid-19 terkawal, dan jika itu tidak dapat direalisasikan, barulah difikirkan rundingan dengan parti-parti lain.

Pembubaran Parlimen untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih semula adalah pilihan terbaik bagi menstabilkan negara memandangkan majoriti tipis kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Najib juga berpendapat bahawa Muhyiddin telah mencorak langkah yang salah untuk  meminta darurat dalam usaha mengekalkan kuasa dan dalam hubungan ini beliau bimbang permintaan yang ditolak Agong dan Raja-raja Melayu boleh menyebabkan UMNO disalahkan pengundi.

“Cadangan kedua saya ialah jika cadangan pertama ditolak PN maka UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika UMNO masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.

“Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini,” katanya lagi.

Najib berkata, tidak mustahil kerjasama itu boleh berlaku memandangkan UMNO dan BN telah bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.

“Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin pada bulan Februari lalu walaupun pada masa itu PPBM merupakan musuh kita yang banyak mengambil ahli-ahli parlimen UMNO, kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU15?,” katanys.

Syarat-syarat ini termasuk membuka jalan untuk UMNO mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi melihat pada masa kini PPBM memonopoli jawatan PM, Menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti UMNO, PAS atau mana-mana parti lain.

“Dengan ini kita boleh merangka pelan bantuan dan rangsangan ekonomi yang lebih effektif seperti melanjutkan moratorium pinjaman serta mempercepatkan pakej bantuan khusus untuk Sabah yang amat diperlukan segera tetapi gagal dikeluarkan sejak sebulan dahulu walaupun impak kepada Sabah pada masa kini adalah amat parah,” katanya.

Najib berkata, beliau sudah beberapa kali meluahkan kekecewaan dengan pengendalian Covid kerajaan PN terutamanya untuk kluster-kluster penjara yang menyumbang bahagian paling besar kes Covid dalam gelombang ketiga ini.

“Walaupun UMNO tak terlibat dalam kementerian tersebut, UMNO tentu akan disalahkan. Dan jika kita diberikan peranan lebih besar, kita boleh menyumbang kepada usaha untuk menyelesaikan kelemahan ini,” ujarnya.

Beliau juga terbuka kepada pilihan untuk meneruskan sokongan bersyarat kepada kerajaan PN sehingga PRU15 tetapi perlu berunding semula syarat-syarat supaya UMNO dan BN diberi peranan lebih besar terutamanya dalam hal-ehwal berhubung rancangan ekonomi.

Related posts

Leave a Comment