PUTRAJAYA 13 Feb. – Dr Zaini Ujang kembali semula ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Ketua Setiausaha (KSU) selepas pertama kali dilantik ke jawatan itu pada 2013 hingga 2016.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Zaini, 59, pernah berkhidmat sebagai KSU di Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Alam Sekitar dan Air dan terakhir di Kementerian Kesihatan sebelum lantikan baharu itu.
Berikutan lantikan itu Zaini diberi taklimat berkenaan pencapaian, hala tuju dan pengoperasian KPT.
Sebelum mendengar taklimat berkenaan pencapaian, hala tuju dan pengoperasian KPT, Zaini turut bertemu dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk melapor diri dan menerima amanat.
Terdahulu beliau disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Mohamad Azhan Md Amir bersama-sama barisan pengurusan tertinggi kementerian itu.
Berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar daripada Universiti Newcastle serta mempunyai kepakaran dalam bidang rawatan air dan sisa, beliau juga pernah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kelima dari 2008 hingga 2013.
nnn
