Sidang Dewan Rakyat berakhir

KUALA LUMPUR 28 Ogos  – Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang bermula 21 Julai lepas ditangguhkan hari ini, menyaksikan 19 rang undang-undang dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata turut diluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 dan usul Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023.

Turut diadakan tiga penerangan menteri dan empat penerangan Jawatankuasa Pilihan Khas.

Dewan Rakyat turut meluluskan pindaan terhadap Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi meningkatkan akauntabiliti badan eksekutif kepada Dewan Rakyat manakala Jawatankuasa Pilihan Khas dinaik taraf sebagai Jawatankuasa Pilihan Tetap.

Persidangan kali ini juga menyaksikan Ahli Parlimen Pendang mewakili Pas, Awang Hashim digantung kehadiran selama 10 hari, pada 18 Ogos lalu susulan isu yang didakwa mencabar Ahli Parlimen lain ‘bertumbuk’ di luar Parlimen.

Johari, ketika membuat keputusan itu berkata arahan berkenaan berkuatkuasa bermula hari ini, dan ia diputuskan mengikut peraturan Mesyuarat 42 (2).

Pada masa sama, Johari turut memberi amaran supaya Ahli Parlimen tidak lagi menyebut bahawa Pas adalah Parti Ajaran Sesat selain melabel mana-mana Yang Berhormat sebagai kafir, di dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yeng ‘merehatkan’ Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) selama dua hari selepas bercakap tanpa kebenaran ketika sesi penggulungan.

Ketika itu, Dr Mohd Na’im sedang memberi penjelasan mengenai isu pelantikan syarikat bukan Islam untuk menjalankan penjenamaan semula TH seperti dibangkitkan wakil Pengkalan Chepa sebelum ini.

Dalam pada itu, Johari berharap Ahli-Ahli Parlimen dapat berkongsi pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN Ke-46 (AIPA) yang diadakan dari 17 hingga 22 September ini.

Beliau berkata Perhimpunan Agung AIPA akan menghimpunkan Ahli Parlimen dari rantau ASEAN merupakan platform terbaik untuk memperkukuh kerjasama serantau terutama dalam bidang legislatif.

Persidangan dewan kemudian ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Nnn

Related posts

Leave a Comment